Thursday, April 25, 2024
26.3 C
Brunei

    -

    Rakyat Iraq bergelut musim panas yang melampau

    BASRA, IRAQ – Umm Mohammed, 74, mengibas-ngibas kipasnya untuk menyejukkan diri ketika cuaca panas membahang di bandar Basra.

    Walaupun Basra sudah biasa dengan musim panas yang terik, tahun ini ia tiba lebih awal daripada yang diramal, memberikan kesengsaraan kepada penduduk di bandar yang turut dilanda kekurangan bekalan elektrik yang teruk.

    “Kami berasa letih,” Umm Mohammed berkata dengan nada yang lemah, sambil menambah cuaca panas telah membuatkan dia terjaga di tengah malam.

    Hanya beberapa hari sebelum tiba musim panas, suhu di Basra telah meningkat kepada sekitar 45 darjah Celsius.

    Rumah Umm Mohammed yang didirikan dengan sederhana mempunyai bumbung kepingan logam yang tipis yang mengekalkan haba terik.

    Um Mohammed duduk di dalam rumahnya sambal mengibaskan kipasnya di bandar Basra di selatan Iraq. – AFP
    Kelihatan seorang peniaga menjual air di jalan di Baghdad. – AFP

    Lebih jauh ke utara di ibu kota Baghdad, suhu sudah mencecah 50 darjah Celsius.

    Dilanda oleh konflik sejak berdekad-dekad yang telah melemahkan infrastrukturnya, Iraq sedang bergelut dengan kemarau, ribut pasir berulang, penggurunan dan paras air menurun di beberapa buah sungai.

    Pemotongan elektrik yang teruk semakin memburukkan keadaan ketika musim panas, dan hanya mereka yang mampu membeli generator peribadi dapat memastikan peti sejuk atau unit penghawa dingin mereka terus berfungsi.

    Di bandar Basra, tahap kelembapan yang tinggi ditambah dengan haba yang membahang. Dan dengan ramai rakyat Iraq bergelut untuk meneruskan kelangsungan hidup, membelanjakan sekitar AS$105 sebulan untuk sebuah generator peribadi bukanlah satu pilihan.

    Pihak berkuasa “mesti membantu orang miskin,” kata Umm Mohammed, mengecam kegagalan mereka untuk menyediakan bekalan tenaga yang mencukupi.

    Satu penderitaan

    Iraq merupakan sebuah negara pengeluar minyak kedua terbesar OPEC. Tetapi negara yang dahulunya berkembang maju telah bertahun-tahun membeli gas daripada negara jiran Iran, yang membekalkan kira-kira satu pertiga daripada keperluan sektor tenaganya.

    Sekatan Amerika Syarikat (AS) ke atas minyak dan gas Iran telah merumitkan Iraq untuk membayar barangan import, menyebabkan negara itu tertunggak dan mendorong Tehran untuk mematikan paip secara berkala.

    Hasilnya ialah pemotongan kuasa yang lebih lama bagi kebanyakan penduduk Iraq yang mempunyai keramaian 41 juta orang penduduk, kebanyakannya menyalahkan ahli politik dan rasuah berterusan atas penderitaan mereka.

    Kemarahan terhadap terputusnya bekalan elektrik menyebabkan tercetusnya bantahan berdarah dari penghujung 2019 hingga pertengahan 2020, termasuk banyak di selatan Iraq. Nataq al-Khafaji, yang tinggal di Nasiriyah, di utara Basra, berkata menahan panas tanpa elektrik adalah “sangat sukar untuk kanak-kanak dan orang tua”.

    Semasa cuti musim panas, ketiga-tiga anak Khafaji tidak mempunyai tempat untuk pergi dan hanya sedikit aktiviti untuk dilakukan. Terperangkap di dalam rumah mereka yang gelap, mereka cuba sedaya upaya untuk berlindung dari panas terik di luar.

    Khafaji telah membeli kipas yang dijana oleh bateri, tetapi menyatakan kebimbangan ia tidak akan mencukupi semasa bulan-bulan paling teruk “apabila ia akan menghampiri 50 darjah”.

    Keutamaan negara

    Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) menyenaraikan Iraq sebagai salah satu daripada lima negara teratas yang paling terdedah kepada perubahan iklim.

    Sejak pertengahan April, ia telah dilanda 10 kejadian ribut pasir, kemarau teruk, kemerosotan tanah, suhu tinggi dan hujan rendah yang dikaitkan dengan perubahan iklim.

    Presiden Barham Saleh memberi amaran menangani perubahan iklim ‘mesti menjadi keutamaan Iraq kerana ia merupakan ancaman wujud kepada masa depan generasi kita yang akan datang’.

    Saleh berkata penggurunan menjejaskan 39 peratus Iraq, di mana bekalan air juga berkurangan secara drastik dan hasil tanaman semakin menurun.

    Dengan gelombang haba dan ribut debu “dijangka meningkat selama bertahun-tahun”, begitu juga dengan isu kesihatan, kata Seif al-Badr, jurucakap kementerian kesihatan.

    “Kami menjangka akan merawat lebih ramai orang untuk pelbagai penyakit yang dikaitkan dengan perubahan iklim”, katanya kepada AFP.

    Tetapi usaha untuk menangani isu sedemikian nampaknya telah ditangguhkan, kerana Iraq bergelut dengan kebuntuan politik yang menyebabkannya tanpa kerajaan baharu selepas pilihan raya Oktober lalu.

    Bank Dunia telah memberi amaran bahawa melainkan penyelesaian ditemui, Iraq boleh kehilangan 20 peratus sumber airnya menjelang 2050 akibat perubahan iklim. – AFP

    - Advertisment -

    Disyorkan Untuk Awda

    Hingga 160 paus pilot terdampar di Australia, sekurang-kurangnya 26 maut

    MELBOURNE, 25 APRIL - Sehingga 160 ekor paus pilot bersirip panjang terdampar di pantai barat Australia hari ini dan sekurang-kurangnya 26 maut sebelum pihak...