Rakyat mahu terus bekerja selepas bersara

TOKYO, 22 SEPT – Tinjauan baru-baru ini menunjukkan 64 peratus rakyat Jepun bersedia bekerja melebihi had usia persaraan, disebabkan masalah kewangan, lapor agensi berita Xinhua memetik media tempatan kelmarin.

Tinjauan dalam talian dijalankan Nippon Life Insurance Co. itu melibatkan 7,543 peserta terdiri pemegang polisi, sebanyak 38.7 peratus mengatakan mahu terus bekerja di tempat sama manakala 25.3 peratus lagi berhasrat menukar pekerjaan lain.

Jepun menghadapi masalah kekurangan tenaga kerja yang serius disebabkan populasi semakin tua manakala kadar kelahiran menurun.

Semakan semula undang-undang yang akan dilaksanakan April tahun depan bertujuan untuk mendorong perniagaan membenarkan kakitangan mereka bekerja sehingga usia 70 tahun.

Mengenai persoalan sampai bila mahu terus bekerja, 40 peratus mengatakan sehingga usia 65 dan 69 tahun dan 31.2 peratus memilih umur 60 dan 64 tahun.

Kira-kira 11.7 peratus pula bersedia untuk bekerja sehingga melebihi usia 75 tahun. – Bernama