BANGKOK, 10 OGOS – Sekumpulan 20 rakyat Malaysia yang tinggal di Bangkok melaksanakan inisiatif ‘Malaysians in Bangkok – Hands that Serve’ bertujuan membantu mereka yang terkesan akibat wabak COVID-19.
Diketuai Dr Silva Kumar, kumpulan itu membantu rakyat Malaysia dan Thailand dengan menghantar makanan ke pertubuhan amal iCare Thailand dan sebuah badan amal Islam, Satthachon Foundation for Education and Orphans (SFEO).
Kumpulan itu turut menyediakan makanan percuma kepada petugas barisan hadapan dan golongan yang kurang bernasib baik.
Selain itu, sumbangan wang tunai turut disalurkan kepada Malaysia Independent Animal Rescue di Pulau Meranti, Puchong dan pertubuhan bukan kerajaan, Refuge For The Refugees.
“Pada awalnya saya bermula dengan misi bantuan dikenali ‘White Flag Help. Kita Jaga Kita’ dan kemudian menubuhkan kumpulan itu pada akhir Jun dan mula mengumpulkan dana,” katanya. – Bernama