Rakyat M’sia dibenar keluar negara tanpa MyTravelPass

PUTRAJAYA, 10 OKT – Rakyat Malaysia yang lengkap menerima vaksin COVID-19 dibenarkan melakukan perjalanan keluar negara tanpa MyTravelPass (MTP) Jabatan Imigresen berkuat kuasa esok, kata Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

Beliau berkata keputusan pemansuhan MTP antaranya untuk menghubungkan ahli keluarga dan pasangan yang terpisah iaitu rakyat Malaysia yang ke luar negara bagi tujuan bekerja dan mereka yang menjalankan urusan perniagaan. 

“Bagaimanapun, kebenaran ini tertakluk kepada individu yang lengkap divaksin dan pengembara masih perlu menjalani kuarantin wajib sebaik pulang ke tanah air,” katanya pada sidang media khas yang disiarkan secara langsung menerusi stesen-stesen televisyen tempatan dan platform media sosial petang ini.

MTP diperkenalkan Jabatan Imigresen pada 7 Oktober tahun lepas iaitu permohonan kebenaran masuk dan keluar negara bagi  warganegara Malaysia dan warga asing yang perlu dibuat melalui sistem tersebut.

Ditanya sama ada pintu masuk negara telah dibuka kepada pelancong luar, Ismail Sabri berkata ia masih belum dibuka kecuali melibatkan urusan kecemasan dan urusan rasmi kerajaan. 

“Kementerian Kesihatan (KKM) akan menilai pembukaan pintu masuk negara kepada pelancong luar negara dan ia akan diumumkan dalam masa terdekat,” katanya.

Mengulas lanjut, Ismail Sabri berkata rakyat Malaysia yang melancong ke luar negara perlu menjalani kuarantin selama 14 hari selepas pulang ke tanah air seperti ditetapkan oleh KKM. – Bernama