Rakyat M’sia diselamatkan tentera laut India kini dirawat di Mumbai

NEW DELHI, 25 JAN – Seorang rakyat Malaysia yang diselamatkan Tentera Laut India dari sebuah kapal dagang kini menerima rawatan di hospital Mumbai.

Rakyat Malaysia itu dipindahkan dari kapal berkenaan pada Khamis atas alasan perubatan dan kini dilaporkan beransur pulih, kata Suruhanjaya Tinggi Malaysia kepada Bernama hari ini.

“Ahli keluarganya di Malaysia sudah dimaklumkan mengenai keadaan terkini. Konsulat Jeneral Malaysia di Mumbai sentiasa berhubung dengan pihak hospital dan memantau perkembangan dan memberikan bantuan konsular yang diperlukan,” kata Suruhanjaya Tinggi.

Wanita berusia 34 tahun itu dilaporkan menghidap penyakit refluks gastroesofagus dan pernafasan, terpaksa dipindahkan dari kapal berdaftar di Singapura, MV Eagle Tampa, 18 batu nautika dari pantai Mumbai. – Bernama