Friday, April 19, 2024
29.4 C
Brunei

    -

    Rakyat Palestin terima lebih 100,000 pek makanan

    Oleh Yusrin Junaidi

    BANDAR SERI BEGAWAN, 8 SEPT – Lebih 100,000 pek makanan, hari ini, sempurna diagihkan kepada rakyat dan penduduk di Gaza yang disampaikan oleh Duta Besar Negara Brunei Darussalam di Amman, Jordan, Tuan Yang Terutama Haji Mahadi bin Maidin kepada Pengarah Perhubungan Luar dan Komunikasi, United Nations Relief and Works Agency (UNRWA), Puan Yang Terutama Tamara Alrifai, pada majlis yang berlangsung di Ibu Pejabat UNRWA, Amman, Jordan.

    Majlis dimulakan dengan ucapan alu-aluan daripada PYT Tamara Alrifai, diikuti oleh ucapan daripada TYT Haji Mahadi.

    Turut hadir menyaksikan acara penyerahan secara maya itu ialah Setiausaha Tetap (Kemasyarakatan) Kementerian Kebudayaan, Belia dan Sukan selaku Pengerusi Bersama Jawatankuasa Kebangsaan Tabung Kemanusiaan Palestin 2021, Hajah Nor Ashikin binti Haji Johari dan Ketua Pegawai Eksekutif, Ghanim International Corporation, Dr Nur Rahman.

    Menurut kenyataan Jabatan Pembangunan Masyarakat (JAPEM), Ghanim International Corporation, yang dilantik oleh Jawatankuasa Kebangsaan Tabung Kemanusiaan Palestin 2021 selaku agensi fokal bagi penyerahan sumbangan bantuan makanan, telah menandatangani memorandum persefahaman (MoU) dengan UNRWA pada 9 Februari lalu untuk membekalkan makanan yang dibiayai melalui Tabung Kemanusiaan Palestin 2021.

    Pelepasan dua buah kontena berukuran 40 kaki telah meninggalkan Negara Brunei Darussalam pada 20 April 2022 dan tiba di Pelabuhan Ashdod pada 15 Jun 2022.

    Kontena yang mengandungi 2,066 karton Kabsa Ayam, Jerish Ayam dan Rendang Daging Lembu yang mudah dan padat khasiat telah sampai di ibu pejabat UNRWA, Gaza pada 4 September 2022.

    Bantuan makanan tersebut akan diagihkan kepada kanak-kanak berumur 6 hingga 15 tahun yang akan menyertai UNRWA Summer Initiative, dengan penyertaan kira-kira 120,000 orang kanak-kanak di 77 lokasi, termasuk kanak-kanak kurang upaya.

    Tabung Kemanusiaan Palestin 2021 telah dibukakan kepada orang ramai selama tiga bulan bermula dari 26 Mei 2021 dan berakhir pada 23 Ogos 2021, di mana tabung tersebut yang berjaya mengumpulkan sejumlah $1,259,841.20 untuk disalurkan bagi dua jenis bantuan asas iaitu bantuan pek makanan dan bantuan untuk pembelian enam buah ambulans, dengan tujuan meringankan bebanan dan memastikan kelangsungan kebajikan rakyat Palestin.

    TYT Haji Mahadi menyerahkan sumbangan kepada PYT Tamara Alrifai, pada majlis yang berlangsung di Ibu Pejabat UNRWA, Amman, Jordan. – Gambar serahan JAPEM
    - Advertisment -

    Disyorkan Untuk Awda

    Mahkamah batalkan sabitan bekas Presiden Maldives Abdulla Yameen

    NEW DELHI, 19 APRIL - Mahkamah di Maldives membatalkan sabitan bekas Presiden Abdulla Yameen atas tuduhan rasuah, kelmarin. Panel tiga hakim Mahkamah Tinggi memutuskan bahawa...