Rakyat perancis bantah longgarkan sekatan

PARIS, 5 MEI – Perancis kelmarin mencatatkan angka rasmi kematian akibat koronavirus melebihi 25,000 orang dengan perdana menteri negara tersebut mempertahankan rancangan kerajaan untuk melonggarkan sekatan perintah berkurung ketika menerima kritikan.

Perancis merancang untuk melonggarkan sekatan perintah berkurung pada 11 Mei setelah melaksanakan perintah tersebut pada pertengahan bulan Mac untuk memerangi virus, dengan beberapa buah sekolah akan dibuka semula dalam strategi yang berlainan dengan negara-negara Eropah yang lain.

Tanda-tanda menunjukkan bahawa epidemik semakin reda di Perancis walaupun peningkatan kadar kematian harian kelmarin kepada 306 orang – lebih dua kali ganda daripada hari sebelumnya – meningkatkan jumlah keseluruhan kematian melepasi 25,000 kepada 25,201 orang.

Tetapi menurut angka menteri kesihatan, trend positif kekal berterusan, dengan berkurangnya pesakit yang dijangkiti koronavirus di unit rawatan rapi kepada 123 orang untuk menjadikan jumlah keseluruhannya kepada 3,696 orang yang memerlukan rawatan segera.

Di seluruh negara, terdapat 267 lebih sedikit pesakit di hospital untuk rawatan koronavirus, menjadikan jumlah keseluruhan 25,548, tambahnya.

Perancis kini menjadi negara kelima yang merekodkan lebih daripada 250,000 kematian selepas Britain, Itali, Sepanyol dan Amerika Syarikat.

Perdana Menteri Edouard Philippe menolak kebimbangan bahawa kerajaan sedang bergerak terlalu pantas terutama dengan membuka semula sekolah, satu langkah yang berbeza dari negara EU yang lain. “Pembendungan ini diperlukan untuk mengatasi darurat, tetapi ia mengakibatkan kos sosial dan ekonomi yang sangat besar,” katanya kepada Senat. “Kita berada di saat penentu, kita tidak boleh kekal dalam pengurungan,” katanya. “Ekonomi mesti disambung semula dengan segera .”

Pihak kerajaan tidak sabar untuk menyambung semula aktiviti, sudah membuat ramalan bahawa ekonomi akan menyusut lapan peratus pada tahun ini – prestasi terburuk mereka. – AFP

Seorang pekerja membersihkan tempat pejalan kaki di Paris. Perancis mencatatkan angka rasmi kematian akibat koronavirus seramai 25,000 orang dan menerima kritikan dari orang awam dengan keputusan kerajaan untuk melonggarkan sekatan. – AFP