Rakyat Perancis, Sepanyol kembali bersosial

PARIS, 11 MEI – Jutaan penduduk di Perancis dan Sepanyol dijangka menikmati kelonggaran perintah berkurung bermula hari ini, namun Britain melanjutkan peraturan itu bagi membolehkan kerajaan merancang strategi khusus dalam menangani krisis COVID-19.

Kebimbangan terhadap gelombang kedua pandemik, yang sudah meragut 280,000 nyawa di seluruh dunia dan mencetuskan kemelut ekonomi, turut melanda Eropah.

Dengan jutaan penduduk kehilangan pekerjaan, termasuk di Amerika Syarikat (AS), yang menyaksikan 20 juta rakyat diberhentikan, kerajaan berada dalam keadaan terdesak untuk menggerakkan semula ekonomi.

Di Perancis, orang ramai dibenarkan berada di luar rumah mulai hari ini, tanpa perlu mendapat permit khas buat pertama kali sejak lapan minggu lalu, guru kembali ke sekolah dan beberapa perniagaan, termasuk salun rambut turut dibuka.

Bar, restoran, teater dan panggung wayang bagaimanapun masih ditutup.

Penduduk berjalan berhampiran Eiffel Tower di Paris kelmarin. – AP

Penduduk Sepanyol di kawasan luar bandar seperti Madrid dan Barcelona yang masih berada di bawah perintah berkurung, sudah mula membuat pelbagai rancangan untuk bertemu rakan-rakan di tempat terbuka.

“Kami sudah tetapkan tarikh untuk adakan majlis makan malam untuk 10 rakan pada Rabu ini. Tak sabar nak berjumpa dan memeluk mereka,” kata Beatriz Gonzalez, 66 tahun dari bandar Las Palmas di Pulau Canary.

Perdana Menteri Britain, Boris Johnson, bagaimanapun berkata, adalah terlalu awal untuk negara itu mengambil pendekatan yang sama.

Selepas hampir tujuh minggu melaksanakan perintah berkurung, sejumlah 31,800 pesakit COVID-19 meninggal dunia di Britain, iaitu yang terburuk di Eropah dan kedua tertinggi di dunia selepas AS. – AFP