Rakyat pulang wajib kuarantin

KUALA LUMPUR, 24 JULAI – Mulai hari ini, rakyat Malaysia yang pulang ke tanah air perlu menjalani proses kuarantin wajib selama 14 hari di stesen kuarantin ditetapkan, kata Menteri Kanan (Kluster Keselamatan) Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

Beliau berkata, seramai 1,244 rakyat telah pulang ke tanah air semalam melalui Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) dan klia2 dari China, Indonesia, Qatar, UAE, Singapura, Kemboja, Jepun, Laos, Belanda, India dan Korea.

“Seramai 1,243 individu telah diperintah untuk menjalani proses kuarantin wajib di kediaman mereka, manakala seorang telah dibawa ke hospital,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Ismail Sabri berkata Kementerian Kesihatan (KKM) telah membuat saringan ke atas 24,701 individu di pintu masuk KLIA dari 10 Jun hingga 23 Julai.

Katanya, daripada jumlah itu, seramai 24,621 individu didapati negatif COVID-19 dan sedang menjalani proses kuarantin wajib di kediaman masing-masing, manakala 80 individu lagi didapati positif dan dihantar ke hospital untuk rawatan. – Bernama

Semua rakyat Malaysia termasuk warga asing yang dibenarkan masuk ke negara ini akan dikenakan kuarantin wajib di pusat kuarantin bermula kelmarin. – Bernama