TENOM, 31 Mac — Rakyat Sabah daripada pelbagai suku kaum perlu sentiasa merasa bangga mempamerkan keunikan serta keindahan seni budaya masing-masing supaya lebih dikenali bukan sahaja oleh generasi muda tetapi juga bangsa lain, kata Ketua Menteri, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal.
Beliau berkata setiap etnik juga seharusnya tidak merasa segan mempersembahkan kebudayaan termasuk memakai pakaian tradisi bagi terus memelihara keindahan warisan budaya nenek moyang mereka supaya tidak luput ditelan zaman.
“Keunikan Sabah bukan hanya kekayaan sumber alam semula jadinya tetapi juga warisan budaya setiap kaum yang perlu terus dijaga dan dipelihara dengan baik untuk generasi muda.
“Saya juga berharap penglibatan lebih ramai anak muda daripada setiap suku kaum dalam penganjuran festival kebudayaan supaya golongan itu lebih mengenali dan menyanyangi warisan budaya mereka,” katanya berucap merasmikan Pesta Kalimaran Kali Ke-16 di Pusat Kebudayaan Murut, di sini, hari ini.
Turut hadir dua Timbalan Ketua Menteri, Datuk Jaujan Sambakong dan Datuk Wilfred Madius Tangau serta Menteri Pembangunan Infrastruktur, Datuk Peter Anthony. – Bernama





























