Rakyat Syria kembali guna kayu api untuk pemanasan

DAMSYIK – Muhammad Juha, seorang warga Syria berusia 32 tahun, mendapati dirinya menghidupkan semula perniagaan keluarga menjual kayu api, apabila kekurangan bahan api dan elektrik bertambah teruk di Syria yang dilanda krisis.

Di kilang papannya di kawasan Jaramana timur ibu kota Damsyik, Juha dan sekumpulan pekerja menerima kayu pokok mati dari pelbagai tempat di seluruh negara. Lelaki itu dan pasukannya membelah kayu dengan kapak. Kemudian, mereka menyusun, menyimpan dan mengeringkan kayu dan membungkusnya untuk dijual ke pasaran.

Bagi Juha, menjual kayu api adalah perniagaan keluarga yang semakin pupus sebelum perang Syria, bagaimanapun, secara tidak dijangka telah ‘menyelamatkan’ perniagaan mereka.

Bercakap kepada Xinhua di kilang papannya, Juha berkata orang ramai telah kembali secara beransur-ansur untuk menggunakan kayu api sebagai bahan bakar sejak tahun 2013, hampir dua tahun selepas meletusnya perang.

“Semasa krisis, apabila bekalan elektrik semakin teruk, orang ramai mula kembali menggunakan kayu api untuk pemanasan pada musim sejuk,” katanya.

Kelihatan seorang pekerja mengangkat kayu mati yang hendak dijadikan kayu api. – Xinhua
Perniagaan kayu api semakin meningkat apabila kekurangan bahan api dan elektrik bertambah teruk di Syria yang dilanda krisis. – Xinhua

Memandangkan musim sejuk hampir tiba, Juha nampaknya begitu sibuk kerana kilang papannya penuh dengan kayu api yang sedia untuk dijual. Semakin ramai rakyat Syria menggunakan kayu api bukan sahaja untuk pemanasan tetapi juga untuk produksi di kilang. Tradisi memasang tempat pembakaran di rumah semakin berleluasa di Syria, katanya, kerana menggunakan kayu api jauh lebih murah berbanding bahan api lain.

“Kayu api yang separuh daripada harga bahan api biasa memberi lebih kehangatan dan boleh didapati pada bila-bila masa. Orang ramai kembali menggunakan kayu api,” katanya.

Ketika ini, Juha cuba memodenkan penjualan kayu api, menjadikannya lebih menarik dengan membungkus balak kayu api yang bersih di dalam beg. Beg kayu api yang dibungkus dengan baik sedia untuk dimasukkan ke dalam tempat pembakaran atau pemanas tanpa meninggalkan jelaga atau kotoran di dalam rumah seperti dahulu.

Dia menambah dia mendapat batang pokok yang sudah mati sahaja, dan perniagaan itu tidak ada kaitan dengan pembalakan haram. Juha adalah salah seorang daripada ramai pembalak, yang perniagaannya berkembang pesat akibat krisis bahan api di negara ini.

Pada bulan Julai lalu, kerajaan Syria telah menaikkan harga bahan api bersubsidi sebanyak 177.7 peratus. Menurut kenyataan rasmi itu, kenaikan harga bahan api itu dibawa oleh kenaikan harga bahan api global selain sekatan Barat yang dikenakan ke atas Syria.

Kerajaan Syria telah berulang kali menyalahkan sekatan unilateral AS atas kemerosotan dalam kehidupan rakyat Syria. – Xinhua