Oleh Imelda Groves HA
Gambar oleh Muiz Matdani
BANDAR SERI BEGAWAN, 15 Okt – Seawal jam 4 petang jalan-jalan raya di kawasan Bandar Seri Begawan mula dipenuhi oleh orang ramai yang bersiap sedia untuk menyaksikan Majlis Perasmian Jambatan Raja Isteri Pengiran Anak Hajah Saleha, Perarakan Kapal-kapal dan Perahu-perahu Berhias serta Pertunjukan Bunga Api yang bermula pada sebelah malam.
Kelihatan orang ramai mula mendapatkan tempat yang bersesuaian untuk meletakkan kereta mereka dan seterusnya mendapat tempat yang selesa dan sesuai bagi menyaksikan acara yang bersejarah bersempena dengan Sambutan Jubli Emas Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam Menaiki Takhta itu.
Walaupun keadaan pada sebelah petang itu dituruni hujan, namun orang ramai yang telah merancang lebih awal itu tidak berputus asa untuk turun bersama-sama keluarga mereka memeriahkan acara tersebut.
Orang ramai daripada pelbagai peringkat umur yang terdiri daripada warga Negara Brunei Darussalam, penduduk tetap dan orang asing itu kelihatan berpayung dan berbaju hujan membawa kerusi mudah alih mereka masing-masing dan sabar duduk berjam-jam menantikan acara bermula tanpa rasa gelisah.
Rata-rata warga emas yang turun bersama keluarga masing-masing menyatakan rasa gembira yang tidak terhingga kerana diberikan peluang untuk menyaksikan acara yang bersejarah itu.
Salah seorang pengunjung yang ditemui Haji Abdullah bin Haji Silim, 70 menjelaskan, “Saya telah menyaksikan acara Jubli Perak Kebawah Duli Yang Maha Mulia Menaiki Takhta dan kali ini saya tidak melepaskan peluang untuk menyaksikan Jubli Emas Baginda Sultan Menaiki Takhta dengan acara-acara yang telah dirancang.”
Katanya acara bersejarah ini bukan sahaja menjadi ristaan zaman-berzaman malah juga turut menjadi kenangan untuk anak-anak dan cucu-cicit beliau yang bakal menyambung generasi akan datang.
“Selain daripada memeriahkan acara itu, secara tidak langsung dengan aktiviti turun beramai-ramai bersama keluarga ini dapat mengeratkan lagi hubungan kami sekeluarga tanpa perlu menghabiskan wang ringgit,” jelasnya yang telah pun berada di ibu negara seawal jam 3 petang.
Ini tidak ketinggalan juga bagi para peniaga untuk mencari rezeki mereka yang telah pun memasang khemah-khemah mereka seawal 8 pagi lagi yang juga turut membanjiri kawasan Bandar Seri Begawan dengan pelbagai jualan barangan termasuk makanan dan juga permainan untuk kanak-kanak.
Salah seorang peniaga muda, Dayang Siti Nurul Aqidah @ Maryam binti Johari ketika ditemui menjelaskan, “Pada mulanya kami sedikit berputus asa dengan keadaan cuaca yang hujan kerana ia bakal menjejaskan keselesaan pengunjung untuk membeli barangan yang dijual, namun ia bukan menjadi penghalang untuk kami meneruskan niat untuk berniaga kerana Allah S.W.T.”
Menurut Haji Abdullah lagi, kesesakan lalu lintas di negara ini jarang berlaku dan mungkin hanya dua tiga kali dalam 50 tahun dan ia sangat berbaloi dengan keletihan, kebasahan berhujan dan bersesak dengan orang ramai yang lainnya.
Beliau bersyukur dengan tidak terhingga dan mendoakan Kebawah Duli Yang Maha Mulia kekal karar memerintah di atas takhta dengan diberikan kesihatan dan kesejahteraan yang berpanjangan.