Rakyat terus setia, gemilang bersama raja penyayang

Oleh Sim Y. H dan Syahmi Hassan
Gambar oleh Muiz Matdani dan Infofoto

BANDAR SERI BEGAWAN, 1 OGOS – Cuaca yang indah dan cerah pada hari ini di Bandar Seri Begawan bagai mengundang segenap lapisan masyarakat untuk sama-sama berkunjung dan menjunjung kasih kehadapan majlis Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu’izzaddin Waddaulah, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam bagi Majlis Ramah Mesra dan Junjung Ziarah Bersama Rakyat dan Penduduk Daerah Brunei dan Muara sempena Sambutan Ulang Tahun Hari Keputeraan Baginda Sultan ke-75.

Setelah majlis yang serupa diadakan di Daerah Tutong dan Temburong, kini tibalah giliran Daerah Brunei dan Muara sebagai daerah ketiga bagi majlis yang amat dinanti-nantikan oleh segenap lapisan masyarakat untuk sama-sama meraikan majlis yang penuh gilang-gemilang bersama raja tercinta yang berjiwa rakyat.

Wajah-wajah ceria dan senyuman manis menyerikan perkarangan Taman Haji Sir Muda Omar ‘Ali Saifuddien yang menanti dari awal pagi lagi bukan sahaja untuk menatap wajah tetapi untuk menjunjung kasih ke hadapan majlis raja dan pemimpin yang disanjung tinggi serta dikasihi.

Berangkat bersama ke majlis itu ialah Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Muda Mahkota Pengiran Muda Haji Al-Muhtadee Billah, Menteri Kanan di Jabatan Perdana Menteri, Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Muda ‘Abdul Malik, Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Muda ‘Abdul Mateen, Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Perdana Wazir Sahibul Himmah Wal-Waqar Pengiran Muda Mohamed Bolkiah, Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Bendahara Seri Maharaja Permaisuara Pengiran Muda Haji Sufri Bolkiah dan Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Digadong Sahibul Mal Pengiran Muda Haji Jefri Bolkiah.

Keberangkatan Baginda Sultan dan kerabat diraja dijunjung oleh Menteri Hal Ehwal Dalam Negeri, Yang Berhormat Pehin Orang Kaya Seri Kerna Dato Seri Setia (Dr) Haji Awang Abu Bakar bin Haji Apong; Pesuruhjaya Polis Diraja Brunei, Dato Paduka Seri Haji Mohammad Irwan bin Haji Hambali; Pemerintah Angkatan Bersenjata Diraja Brunei, Mejar Jeneral (U) Dato Seri Pahlawan Haji Hamzah bin Haji Sahat, setiausaha-setiausaha tetap, timbalan-timbalan setiausaha tetap Kementerian Hal Ehwal Dalam Negeri serta Pegawai Daerah Brunei dan Muara, Awang Misle bin Haji Abdul Karim.

KDYMM Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu’izzaddin Waddaulah berkenan berangkat ke Majlis Ramah Mesra dan Junjung Ziarah Bersama Rakyat dan Penduduk Daerah Brunei dan Muara sempena Sambutan Ulang Tahun Hari Keputeraan Baginda ke-75. Turut berangkat ialah DYTM Paduka Seri Pengiran Muda Mahkota Pengiran Muda Haji Al-Muhtadee Billah, DYTM Paduka Seri Pengiran Muda ‘Abdul Malik, DYTM Paduka Seri Pengiran Muda ‘Abdul Mateen, DYTM Paduka Seri Pengiran Perdana Wazir Sahibul Himmah Wal-Waqar Pengiran Muda Mohamed Bolkiah, DYTM Paduka Seri Pengiran Bendahara Seri Maharaja Permaisuara Pengiran Muda Haji Sufri Bolkiah dan DYTM Paduka Seri Pengiran Digadong Sahibul Mal Pengiran Muda Haji Jefri Bolkiah.
KDYMM Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu’izzaddin Waddaulah dan DYTM Paduka Seri Pengiran Muda Mahkota Pengiran Muda Haji Al-Muhtadee Billah berkenan beramah mesra bersama rakyat pada Majlis Ramah Mesra dan Junjung Ziarah Bersama Rakyat dan Penduduk Daerah Brunei dan Muara di Bandar Seri Begawan.
Baginda Sultan berkenan dijunjung berangkat bagi beramah mesra bersama rakyat dan penduduk Daerah Brunei dan Muara.
Baginda Sultan berkenan dijunjung memotong kek sempena Sambutan Ulang Tahun Hari Keputeraan Baginda ke-75.
Baginda Sultan berkenan bergambar ramai bersama warga media awam dan swasta.
DYTM Paduka Seri Pengiran Muda Mahkota Pengiran Muda Haji Al-Muhtadee Billah berkenan berswafoto bersama pelajar sekolah.
DYTM Paduka Seri Pengiran Muda ‘Abdul Mateen berkenan beramah mesra bersama rakyat dan penduduk Daerah Brunei dan Muara.
DYTM Paduka Seri Pengiran Perdana Wazir Sahibul Himmah Wal-Waqar Pengiran Muda Mohamed Bolkiah berkenan berinteraksi bersama rakyat pada majlis itu.

 

Sejurus keberangkatan tiba lagu kebangsaan ‘Allah Peliharakan Sultan’ dikumandangkan dengan diiringi oleh Pasukan Pancaragam Polis Diraja Brunei, diikuti dengan persembahan khas daripada gabungan penyertaan seramai lebih dari 200 orang terdiri daripada belia-belia yang aktif di Negara Brunei Darussalam yang menggabungkan sekolah rendah dan sekolah menengah di mana persembahan dipenuhi dengan warna-warni membawa tema, Raja Tersohor Kegemilangan Rakyat.

Baginda berserta kerabat diraja kemudian dijunjung berangkat bagi menerima junjung ziarah ahli-ahli jawatankuasa tadbir tertinggi, jawatankuasa-jawatankuasa perayaan, para penghulu mukim, ketua kampung dan peserta persembahan serta ahli-ahli pertubuhan bukan kerajaan dan rakyat serta penduduk di daerah ini.

Majlis Ramah Mesra dan Junjung Ziarah itu amat dinanti-nantikan bukan sahaja oleh pelbagai lapisan masyarakat di daerah ini tetapi juga seluruh rakyat di negara ini amnya untuk mendekatkan diri kepada Baginda Sultan dan kerabat diraja serta berinteraksi, yang jelas menunjukkan sikap pemedulian Baginda kepada rakyat serta kasih dan kesetiaan rakyat kepada Baginda.

Baginda Sultan dan kerabat diraja kemudian dijunjung berangkat bagi Majlis Santap di Dewan Persantapan Lapau, Bandar Seri Begawan.