MANILA, 8 Jan – Presiden Filipina, Rodrigo Duterte terus memperoleh kepercayaan tinggi dan sokongan, berdasarkan satu tinjauan bebas, lapor agensi berita Xinhua.
Tinjauan dilakukan Pulse Asia Inc. pada Disember 2017, menunjukkan 80 peratus daripada 1,200 orang yang berusia 18 tahun ke atas menyokong cara pentadbiran Duterte.
Selain itu, tinjauan mendapati sebanyak 82 peratus daripada mereka memberikan kepercayaan kepada pemimpin berkenaan.
Di samping Duterte, Naib Presiden Maria Leonor Robredo dan Presiden Senat Aquilino Pimentel turut memperoleh sokongan serta kepercayaan di peringkat nasional.
Robredo menerima 59 peratus sokongan dan 58 peratus kepercayaan manakala Pimentel 57 peratus sokongan dan 53 peratus kepercayaan.
Jurucakap Duterte, Harry Roque menyambut baik keputusan tinjauan itu dan menyeru rakyat Filipina untuk menterjemahkan keputusan itu ‘kepada tindakan dengan bersama berdiri teguh.’
Undian itu menunjukkan rakyat sedar dan mengakui langkah-langkah penting yang dilakukan presiden dalam tempoh setahun setengah menerajui pentadbiran.
“Oleh itu, kami menyeru semua lapisan masyarakat yang memberikan penghargaan ini dengan bertindak sebagai satu dan membantu kerajaan untuk terus menangani masalah kemiskinan, sindiket dadah haram, jenayah serta rasuah,” kata Roque.
Duterte, mula memegang jawatan presiden pada Jun 2016 dan tempoh pentadbirannya selama enam tahun akan tamat pada 2022. – Bernama