Rakyat Thailand sambut Songkran

BANGKOK, 13 April – Mulai hari ini, rakyat Thailand merayakan ‘Songkran’ (Pesta Air) bagi menyambut kedatangan tahun Baharu Thai, manakala pihak berkuasa pula mengharapkan kempen keselamatan jalan rayanya sepanjang tempoh cuti panjang bersempena sambutan itu akan berjaya mengurangkan jumlah kematian akibat nahas jalan raya.

Selalunya, jumlah kemalangan jalan raya melonjak dengan ketara sepanjang sambutan Songkran selama seminggu itu, yang juga dikenali sebagai ‘Tujuh Hari Maut’ apabila berjuta-juta rakyat Thailand membanjiri jalan dan lebuh raya untuk pulang ke kampung halaman masing-masing.

Statistik yang dikumpul agensi kerajaan menunjukkan antara 300 hingga 400 rakyat negara ini terkorban setiap tahun akibat kemalangan jalan raya, manakala Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) mengesahkan bahawa jalan raya di Thailand adalah antara yang paling berbahaya di dunia.

Dua hari menjelang bermulanya sambutan Songkran, 99 orang telah menemui ajal dan lebih 1,000 cedera.

Sementara itu, polis dan pihak berkuasa tempatan di Bangkok meningkatkan langkah keselamatan apabila berpuluh ribu orang, termasuk pelancong asing, dijangka memenuhi jalan raya utama di bandar raya ini, mulai hari ini hingga Ahad, bagi menyambut pesta itu. – Bernama

Suasana perayaan Songkran atau Pesta Air yang disambut selama seminggu di Thailand, bermula semalam . – Bernama