ANKARA, TURKIYE, 14 MEI – Turkiye mengundi hari ini dalam pilihan raya parlimen dan presiden yang dijangka memberikan saingan sengit dan mungkin menimbulkan cabaran terbesar pernah dihadapi Presiden Recep Tayyip Erdogan dalam dua dekad berkuasa.
Pilihan raya itu sama ada akan memberikan Erdogan tempoh lima tahun baharu memegang jawatan presiden atau menetapkan haluan yang lebih demokratik untuk negara anggota NATO itu.
Pengundian bermula pada pukul 8 pagi dan akan ditutup pada pukul 5 petang. Organisasi media dilarang melaporkan keputusan separa sehingga sekatan ditarik balik pada jam 9 malam. Tinjauan susulan mengenai pilihan raya berkenaan tidak akan diadakan.
Buat pertama kali dalam 20 tahun memegang jawatan presiden, tinjauan pendapat menunjukkan bahawa Erdogan, 69, memasuki saingan pengundian di belakang lawan.
Tinjauan pendapat telah memberikan pendahuluan kepada Kemal Kilicdaroglu, pemimpin berusia 74 tahun dari Parti Rakyat Republikan yang prosekular, atau CHP, dan calon bersama pakatan pembangkang bersatu.
Sekiranya tidak ada calon yang mendapat lebih daripada 50 peratus undi, kempen presiden akan ditentukan dalam pusingan kedua pada 28 Mei nanti.
Lebih 64 juta orang, termasuk 3.4 juta pengundi luar negara, layak mengundi dalam pilihan raya, yang diadakan pada tahun Turkiye menandakan ulang tahun ke-100 penubuhan republik itu.
Pilihan raya diadakan ketika negara dilanda kegawatan ekonomi yang dipersalahkan oleh pengkritik atas kesilapan kerajaan dalam mengendalikan ekonomi dan krisis kos sara hidup. – AP
