Rakyat Vietnam berang menteri makan stik disaluti daun emas

LONDON, 5 NOV – Satu rakaman video menunjukkan seorang pegawai tertinggi Vietnam menikmati hidangan stik disaluti daun emas di sebuah restoran mewah di London mencetuskan kemarahan online di negara yang mana pendapatan purata rakyat biasa hanya beberapa dolar sahaja sehari.

Menteri keselamatan awam, To Lam – yang mengawasi pembangkang dan memantau aktivis di negara autoritarian itu – dilihat makan ketulan besar daging stik di Nusr-Et Steakhous di kawasan mewah Knightsbridge.

Nusr-Et, dinamakan sempena cef Turki Nusret Gokce – terkenal mempunyai hampir 40 juta pengikut Instagram sebagai Salt Bae – menghidangkan stik disalut daun emas 24 karat yang boleh dimakan, dilaporkan berharga lebih AS$1,000.

Klip video ahli politik Vietnam itu yang asalnya dimuat naik oleh restoran itu, kini sudah dipadamkan, namun ia sudah pun tersebar di seluruh Tiktok dan Facebook di Vietnam hari ini.

Ramai yang berang dengan klip video itu yang membandingkannya dengan pergelutan negara menangani gelombang COVID-19 yang menjejaskan, mengakibatkan ramai kehilangan pekerjaan dan pengecutan paling teruk dalam ekonomi Vietnam.

“Orang ramai sedang berdepan kesukaran akibat pandemik, namun pegawai berseronok sama seperti selebriti berkelas dunia,” tulis Pham Viet Duc di Facebook.

“Kerajaan sering mengadu kesuntukan kewangan, namun mereka mencuri wang rakyat bagi kehidupan mewah seperti ini, bagai tiada esoknya lagi,” tambahnya. – AFP

Sedutan rakaman menunjukkan Salt Bae menyuapkan stik bersalut daun emas kepada To Lam, dalam video yang tular di media sosial. – Agensi