Ramadan bulan menyucikan dosa

BANDAR SERI BEGAWAN, 14 APRIL – Ramadan adalah bulan agung, bulan suci yang menyucikan dosa-dosa orang-orang bertaubat, bulan yang datang untuk mengangkat darjat orang-orang beriman yang setia dan mentaati Allah.

Pada bulan ini juga, Allah SWT telah menurunkan kitab-kitabNya termasuk kitab suci Al-Quran yang diturunkan pada malam ke-24 Ramadan, ada juga pendapat lain, Al-Quran turun pada hari Isnin, 17 Ramadan.

Perkara tersebut dijelaskan oleh Mufti Kerajaan, Yang Berhormat Pehin Datu Seri Maharaja Dato Paduka Seri Setia (Dr) Ustaz Haji Awang Abdul Aziz bin Juned, ketika menyampaikan ceramah khas Bersama Mufti sempena awal Ramadan 1442H/2021M yang disiarkan di Radio Televisyen Brunei pada hari ini.

Beliau menekankan bahawa ibadat puasa Ramadan adalah bersifat amat istimewa dan tersendiri dan antara keistimewaannya itu ialah penghapus dosa, mengundang keampunan Allah dan mendapat dua kegembiraan iaitu kegembiraan apabila dia berbuka (setelah melaksanakan kewajiban puasanya) dan kegembiraan kedua, apabila dengan puasanya itu dia berjumpa dengan Tuhannya.

Ibadat puasa, tegasnya lagi, pada hakikatnya ialah menahan diri daripada makan minum dan melayani keinginan-keinginan hawa nafsu semata-mata untuk meraih keredaan Allah.

Yang Berhormat Pehin Datu Seri Maharaja Dato Paduka Seri Setia (Dr) Ustaz Haji Awang Abdul Aziz ketika menyampaikan ceramah khas yang disiarkan di Radio Televisyen Brunei.

Ia berstatus ‘rahsia’ antara hamba dengan Tuhannya, dalam makna, tiada siapa pun yang dapat mengetahui adakah benar si hamba itu berpuasa ataupun tidak, hanya Allah jua sahaja yang mengetahui, di samping si hamba yang ampunya diri sendiri, sementara orang lain, tidak mengetahui. Kerana itulah kedudukan ganjaran puasa adalah tersendiri di sisi Allah, tegas beliau.

Yang Berhormat Pehin seterusnya menjelaskan bahawa Ramadan dinamakan ia sebagai bulan sabar dan barang siapa menghidupkan Ramadan dengan sabar, ganjarannya adalah syurga.

“Bagaimana hendak menghidupkan Ramadan dengan sabar itu? Paling atas sekali ialah melaksanakan ibadat puasa, berjuang mematahkan pengaruh perut dan pengaruh hawa nafsu. Ini menurut nabi adalah perjuangan paling besar, mengalahkan perjuangan di medan perang.

“Kita puasa, bererti kita berjuang melawan hawa nafsu. Melawan pengaruh perut dan pengaruh syahwat, perjuangan ini berlangsung selama sebulan lamanya. Kukuhkan benteng sabar itu supaya kita berjaya, tolak segala pengaruh untuk meruntuhkannya,” jelas Yang Berhormat Pehin.

Yang Berhormat Pehin seterusnya menyeru untuk merebut kesempatan beramal dalam bulan Ramadan ini, di antara amal besar yang perlu dan elok dibuat itu menurutnya ialah bermunajat kepada Allah dalam bentuk doa kerana doa orang yang berpuasa adalah tajam, dijamin tidak akan ditolak dan mampu menembusi pintu-pintu langit untuk diterima oleh Allah.

“Sekarang, dunia sedang gelisah, kita sedang gelisah kerana serangan koronavirus belum berakhir, maka mari, kita ambillah peluang keemasan ini, peluang doa tajam, peluang pintu-pintu langit terbuka luas, ayuh! Mari kita masuki, kita datangi Allah dengan doa-doa merendah diri,” tegasnya.

Yang Berhormat Pehin seterusnya menjelaskan bahawa ibadat puasa dan Al-Quran selaku zikir dan doa adalah dua unsur yang hidup, bukan beku atau mati. Pada hari kiamat kelak, jelasnya, puasa dan Al-Quran ini akan menghadap Allah SWT untuk meminta kebenaran bagi keduanya dapat memberi syafaat (pertolongan) kepada siapa yang berpuasa dan membaca Al-Quran.

Semua ini, jelasnya, menjadi motivasi kepada orang-orang Islam, supaya jangan sekali-kali terlepas ibadat puasa dan jangan sekali-kali terlepas daripada membaca Al-Quran, kalau benar, kita berhajat kepada pertolongan keduanya, pada hari yang amat-amat sukar dan amat-amat mengerikan itu iaitu hari kiamat.

“Marilah kita sama-sama berazam dan berdoa, semoga kita dapat melaksanakan ibadat puasa dan membaca Al-Quran terus-menerus, khasnya di sepanjang Ramadan ini,” tegasnya mengakhiri ceramah.