Oleh Salawati Haji Yahya
BANDAR SERI BEGAWAN, 10 Mei – Bulan Ramadan adalah waktu yang terbaik untuk mendidik jiwa dan rohani kepada kebaikan dan mendekatkan kepada Allah selain merebut peluang memperbanyakkan amal ibadah dan meraih ganjaran yang dijanjikan Allah dalam bulan ini dan rugi bagi mereka yang mensia-siakannya.
Khatib dalam khutbah Jumaat hari ini yang bertajuk ‘Amalan-amalan yang digalakkan dalam bulan Ramadan’, menegaskan bulan Ramadan ini bukan saja menahan diri daripada lapar dan dahaga tapi juga mendidik mengawal daripada hawa nafsu.
Pada bulan Ramadan juga digalakkan untuk memperbanyakkan amalan sunat kerana melakukan amalan sunat khusus dalam bulan Ramadan, ganjarannya berlipat ganda berbanding dengan bulan lain.
Khatib seterusnya menjelaskan, antara amalan sunat yang digalakkan untuk dilakukan sepanjang bulan Ramadan iaitu bersahur di mana ulama sepakat mengatakan hukum bersahur adalah sunat dan sunat juga mengakhirkan sahur iaitu kira-kira bacaan 50 ayat Al-Quran sebelum azan Subuh.
Beliau seterusnya menambah, sahur bukan saja memberi kekuatan tenaga untuk berpuasa pada siang hari malah sahur juga waktu turunnya rahmat, doa dimakbulkan dan waktu yang penuh dengan keberkatan.
Selain itu, memperbanyakkan amalan bersedekah kerana Rasulullah SAW adalah orang yang paling banyak bersedekah, lebih-lebih lagi pada bulan ini tidak kira kecil atau besar, sedikit atau banyak.
Khatib dalam khutbahnya juga mengingatkan pada bulan ini adalah peluang untuk memperbanyakkan amal kebajikan dengan bersedekah untuk membantu meringankan beban mereka yang memerlukan.
Selain itu, digalakkan juga membaca Al-Quran, kerana bulan Ramadan itu adalah bulan Al-Quran, menghidupkan bulan Ramadan dengan memperbanyakkan membaca Al-Quran pada siang hari atau waktu malam sama ada secara perseorangan atau berjemaah iaitu bertadarus di masjid atau di rumah.
Amalan seterusnya adalah menyegerakan berbuka puasa dan memberi makan atau menyungkaikan orang yang berpuasa serta melakukan sembahyang sunat tarawih.
Khatib dalam khutbahnya turut menyeru untuk sama-sama mengerjakan sembahyang sunat tarawih berjemaah, lebih-lebih lagi di masjid-masjid, surau dan balai ibadat untuk sama-sama mengimarahkan masjid dan menghidupkan malam-malam di bulan Ramadan.
Bulan Ramadan adalah kesempatan dan peluang terbaik untuk bermuhasabah, memperbaiki diri dan meningkatkan amal ibadah supaya lebih mendekatkan diri kepada Allah dan adalah menjadi kerugian jika kita hanya sekadar berpuasa pada siang hari tanpa melakukan amal ibadah yang lain.