Oleh Janie Tan Poo Choo
KUALA LUMPUR – Setiap kali datangnya bulan Ramadan, saya berasa nostalgik, teringat kisah zaman kanak-kanak terutamanya ketika belajar di sekolah rendah kebangsaan, malahan pernah berpuasa untuk sama-sama menumpang gembira menyambut bulan yang mulia itu.
Saya cuma dapat bertahan separuh hari sahaja berpuasa. Saya waktu itu berusia sembilan tahun, darjah tiga. Saya seorang sahaja pelajar Cina dalam kelas itu. Saya berpuasa pada hari ke-10. Tekak saya begitu kering macam hendak pecah sedangkan baru pukul 1 tengahari.
Apabila saya minta kebenaran untuk pulang ke rumah, ada kawan-kawan saya gelakkan saya. Saya sebenarnya memang sudah tidak tahan lapar dan haus. Saya mahu balik ke rumah sebab hendak “buka puasa”.
Ada kalanya saya akan tersenyum sendirian mengenangkan zaman persekolahan dan Ramadan banyak menyimpan nostalgia, menggamit 1001 kenangan bagi diri saya. Ada juga sedikit sebanyak kenangan yang telah hilang dari ingatan. Jika bukan diminta untuk menulis tentang pengalaman dan kenangan manis saya ketika meraikan bulan Ramadan bersama-sama para guru sekolah dan kawan-kawan beragama Islam sewaktu di bangku sekolah memang memori tersebut akan terkubur begitu sahaja.
Setiap kali ingatan singgah kepada kenangan silam itu, perasaan saya dibaluti keseronokan dan kesyukuran. Saya masih ingat guru besar Sekolah Rendah Kebangsaan Selayang semasa saya belajar di sekolah itu iaitu Hajah Jessimah Haji Mohd Deen yang kemudiannya bertukar ke Sekolah Rendah Kebangsaan Kampung Tunku. Kawan-kawan sekelas saya – Zarina, Nik, Shamsiah dan Tanggamah – di mana mereka agaknya sekarang?
Persediaan awal
Saya pasti semua umat Islam di Malaysia dan negara-negara lain akan cuba membuat persediaan awal sebaik mungkin sempena menyambut bulan Ramadan supaya mereka dapat memberi tumpuan kepada ibadah puasa serta ibadah serta amalan yang lain. Bermula daripada makan sahur hingga kepada solat tarawih, malah ada yang langsung beribadah dengan solat di tengah malam. Ada kawan saya cerita dulu begitu seronok bersahur kerana dapat makan masakan yang emak masak, sehingga tidak terasa lapar berpuasa di siang harinya.
Ada satu perkara yang paling saya suka bila tiba Ramadan iaitu Bazar Ramadan. Saya juga tidak ketinggalan berkunjung ke bazar Ramadan di pasar Selayang atau di Jalan Ipoh. Saya pasti mencari juadah kegemaran saya iaitu cucur udang, pisang goreng, kuih seri muka, apam balik, akok dan ayam percik.
Ramai umat Islam yang pasti akan membeli makanan, minuman, kuih-muih dan jajan di Bazar Ramadan sebelum waktu berbuka puasa. Gerai-gerai makanan yang begitu banyak tampak sedap dipandang mata dan mengundang selera para pengunjung walaupun pengunjung bukan Islam seperti saya yang sangat teruja untuk menjamu selera. Tidak kurangnya gerai yang ramai pengunjungnya berbilang kaum yang duduk bergurau senda sementara menunggu masuk waktu berbuka puasa. Ini merupakan aktiviti yang penuh dengan keakraban. Saya berasa tenang dan gembira menyaksikan pemandangan unik ini yang hanya dapat dilihat di Malaysia.
Seminggu sebelum lebaran, banyak pusat membeli-belah yang menawarkan jualan atau diskaun secara besar-besaran. Tidak hairanlah jika jalan raya di sekitar kawasan tumpuan membeli-belah akan sesak sehingga lewat senja. Dengan potongan harga sehingga 70 peratus dan 80 peratus, bukan sahaja mereka yang menyambut hari raya puasa berduyun-duyun membeli-belah, saya juga yang tidak berpuasa ini juga sakan berbelanja.
Perjalanan ‘Balik Kampung’
Menjelangnya cuti hari raya, orang ramai tidak kira kaum dan agama sudah memulakan perjalanan untuk “Balik Kampung” yang sudah menjadi satu tradisi. Memang jalan raya dan lebuh raya akan sesak tapi tidak bolehlah hendak merungut kerana masing-masing mempunyai misi utama untuk pulang ke kampung halaman. Lambaian orang-orang yang disayang nun jauh di kampung semakin terbayang di mata, lantas kesesakan berjam-jam di lebuh raya seakan tidak terasa!
Bagi segelintir orang, perjalanan yang panjang dan memenatkan adalah pengalaman berharga yang selalu akan dijadikan bahan cerita ketika bertemu dengan ahli keluarga di kampung halaman. Inilah keunikan rakyat Malaysia yang akan menyambut dan meraikan setiap perayaan tanpa mengira bangsa dan agama.
Permandangan yang paling cantik di waktu malam dan saat yang paling dinanti adalah ketika saya melihat lampu-lampu panjut dan pelita menghiasai halaman-halaman rumah kampung sepanjang bulan Ramadan. Terpegun dan terpesona saya selayang pandang lampu-lampu panjut dan pelita menghiasi halaman-halaman rumah kampung menjelang malam Ramadan.
Saya benar-benar teruja dan gembira mendapat peluang untuk memerhati cahaya lampu-lampu panjut dan pelita di halaman-halaman rumah kampung sewaktu saya berada di bangku sekolah rendah. Kini semakin lama semakin kurang kelihatan lagi pemandangan tersebut. Malam yang gelap cuma disinari lampu kelip-kelip elektrik.
Pada hemat saya, umat Islam yang berpuasa sepanjang Ramadan sememangnya cekal dan kental iman menahan lapar dan menghadapi pelbagai dugaan. Saya rasa perjuangan menentang tuntutan nafsu tidak setanding dengan kebahagian yang dikecapi saat mereka berkumpul bersama dengan seluruh ahli keluarga ketika menyambut hari Raya Aidilfitri.
Bagi saya saat yang paling dinanti sepanjang bulan Ramadan adalah mengunjungi rumah terbuka guru-guru sekolah, sahabat-handai atau rakan-taulan pada Hari Raya Aidilfitri. Saya yang tidak berpuasa turut berasa bahagia melihat anggota keluarga lain yang sedang merayakan kemenangan menghadapi dugaan sepanjang Ramadan.
Saat menyambut Aidilfitri inilah waktu yang paling sesuai bagi saya memohon maaf kepada guru-guru sekolah, sahabat-handai dan rakan-taulan serta anggota keluarga lain yang merayakan hari kebesaran umat Islam ini. Saya mungkin melakukan kesalahan atau mengeluarkan kata-kata yang menyakitkan sebagai seorang pelajar atau seorang kawan. Pada Hari Raya Aidilfitri inilah, kita berkesempatan saling bermaaf-maafan. Sangat bahagia rasanya apabila kita bersalaman, memohon maaf.
Pengalaman berharga
Saya masih ingat lagi sewaktu saya dijemput ke rumah terbuka guru sekolah rendah. Beliau menyediakan hidangan yang begitu mewah dan itulah pengalaman pertama kali makan nasi dalam talam. Guru sekolah rendah ini begitu faham bahawa saya beragama Buddha dan tidak makan daging. Guru saya begitu prihatin dan masak makanan khas untuk saya. Saya amat terharu, amat gembira dan amat bersyukur mempunyai seorang guru yang begitu penyayang.
Makanan yang paling dinanti ketika menziarahi kawan-kawan pada hari rumah terbuka sudah semestinya ketupat dan rendang ayam. Setiap rumah yang saya ziarahi, pasti akan menyediakan hidangan khasnya, tetapi tidak mungkin kehilangan menu yang satu ini iaitu ketupat dan rendang ayam.
Dalam usia yang semakin dewasa, kenangan bulan Ramadan semasa zaman kanak-kanak memang sering bermain dalam ingatan. Semuanya itu amat menyeronokkan dan menceriakan hidup saya. Jika diberi peluang, saya ingin menikmati zaman itu semula walaupun saya tahu bahawa hal itu mustahil akan berlaku lagi dalam hidup saya. Kepada semua muslimim dan muslimat Selamat Menyambut Ramadan. – Bernama