Ramai anak disleksia berjaya

“SUDAH nak masuk darjah dua tapi membaca masih merangkak-rangkak. Tak tahulah macamana dia belajar di sekolah. Risau juga bila cikgu kata Arfan ada ciri-ciri kanak-kanak disleksia. Bahayakah? Apa patut dibuat ya?”

Tahukah anda, kanak-kanak yang berumur lima tahun ke atas yang masih tidak dapat mengeja dan menulis mungkin disebabkan oleh sejenis sindrom yang dipanggil disleksia.

Apakah disleksia?

Menurut Portal Maklumat 1Klik, disleksia disebabkan oleh kerosakan pada kebolehan otak untuk menterjemahkan imej tulisan kepada kefahaman. Ia juga dipanggil sebagai sindrom ‘lambat membaca’ di kalangan kanak-kanak.

Sindrom ‘lambat membaca’ ini sebenarnya bukan satu penyakit berbahaya, tetapi kesannya boleh menyebabkan kanak-kanak ketinggalan dalam pembelajaran. Namun, jangan terkejut kerana penghidap disleksia umumnya mempunyai tahap kecerdasan intelektual (IQ) normal atau lebih tinggi daripada kanak-kanak biasa.

10 simptom kanak-kanak disleksia

Disleksia boleh mempengaruhi seseorang dengan sangat berbeza. Malah, tahap kesukaran anak-anak semasa belajar di sekolah juga tidak sama. Sindrom disleksia agak sukar dikenal pasti sejak kecil kerana ia tidak seperti sindrom atau penyakit lain. Dari segi fizikalnya, mereka kelihatan sama seperti kanak-kanak normal.

Antara simptom kanak-kanak disleksia ialah keliru dengan abjad dan nombor, keliru dengan huruf yang hampir serupa seperti ‘b’ dan ‘d’. – Gambar hiasan
Telah ramai tokoh terkenal yang berjaya walaupun menghadapi masalah disleksia seperti Steve Jobs, Bill Gates (gambar), Tom Cruise, Keira Knightley, Lewis Hamilton (pelumba F1), Orlando Bloom, peninju terkenal Muhammad Ali dan Walt Disney. – Agensi

Walaubagaimanapun, antara tanda dan simptom disleksia yang biasa dikesan pada anak-anak adalah seperti berikut:

1. Lambat bercakap

Pada anak kecil, akan terlihat sedikit beza di mana mereka tidak suka menyanyi dan membunyikan ‘phonics’ atau ‘rhyme’. Apabila semakin meningkat usia, mungkin kurang minat bercakap kerana sukar menyebut sesuatu perkataan.

2. Selalu tersasul

Apabila membunyikan suku kata, sering tersilap seperti ‘kelapa’ dan ‘kepala’. Sukar menyebut suku kata yang panjang seperti ‘hospital’, ‘komputer’, atau ‘universiti’.

3. Cepat lupa

Sukar untuk mengikut arahan yang panjang pada suatu masa.

4. Kesukaran membaca

Menghadapi kesulitan mengenal ABC, warna, dan nombor asas.

5. Cara pegang pensel yang pelik

Sukar menulis dengan baik, ada yang memegang pensel terlalu kuat dan ada yang terpaksa melihat hujung pensel terlalu dekat. Selain tulisan yang agak buruk, anak disleksia mungkin tidak cekap dari segi kemahiran motorik. Contoh: Mengasingkan warna, bentuk, memasukkan objek mengikut ruangnya, bermain ‘puzzle’, mengikat tali kasut, menendang bola dan banyak lagi.

6. Keliru dengan abjad dan nombor

Keliru dengan huruf yang hampir serupa seperti ‘b’ dan ‘d’.

7. Sukar mencari arah

Keliru dengan kiri dan kanan.

8. Kurang memahami konsep masa

Sukar mengingat sesuatu mengikut turutan. Sebagai contoh: turutan hari Isnin hingga Ahad, huruf A-Z, nombor 1-10, bulan Januari hinga Disember.

9. Sentiasa mengelak daripada belajar

Berasa mudah penat kerana terpaksa menggunakan konsentrasi dan tenaga yang tinggi tetapi masih sukar memahami sesuatu perkara melalui teks.

10. Berbakat dalam bidang artistik dan seni

Lebih berminat dengan aktiviti ‘hands-on’ dan biasanya mempunyai IQ yang tinggi. Lebih mudah ‘relate’ dengan gambar, lukisan, atau lisan berbanding teks. Ada yang menganggapnya hiperaktif.

Perkara yang paling penting apabila mengajar golongan kanak-kanak yang menghidap disleksia ini ialah ibu bapa dan guru-guru perlu sentiasa bersabar dan sentiasa mencuba kaedah pengajaran yang berbeza untuk mencari satu kaedah yang paling sesuai dan terbaik dengan kanak-kanak ini. – Gambar hiasan
Disleksia atau sindrom ‘lambat membaca’ ini sebenarnya bukan satu penyakit berbahaya, tetapi kesannya boleh menyebabkan kanak-kanak ketinggalan dalam pembelajaran. Namun, jangan terkejut kerana penghidap disleksia umumnya mempunyai tahap kecerdasan intelektual (IQ) normal atau lebih tinggi daripada kanak-kanak biasa. – Gambar hiasan

Cara terbaik untuk mengajar kanak-kanak penghidap Disleksia

Menurut Persatuan Disleksia Malaysia, cara yang terbaik untuk mengajar kanak-kanak penghidap disleksia ini ialah dengan menggunakan kaedah yang betul untuk mewujudkan asas pembelajaran yang kukuh terutamanya berkaitan pengiraan, membaca dan mengeja.

Antara kaedah yang digunakan ialah ‘pendekatan pelbagai deria’, di mana kanak-kanak ini diajar menggunakan lebih daripada satu deria mereka. Contohnya, membaca, mendengar atau melakukan kerja dengan tangan mereka secara berasingan mungkin tidak berkesan berbanding dengan menggabungkan semua deria.

Kanak-kanak disleksia juga perlu diberikan banyak rehat berbanding pengajaran secara berterusan untuk jangka masa yang panjang kerana mereka menghadapi kesukaran dalam memberi tumpuan secara berterusan dalam jangka masa waktu tersebut.

Apabila mengajar kanak-kanak disleksia juga, ibu bapa mahupun guru-guru perlu sentiasa menggabungkan kaedah kreatif dan menyeronokkan. Ibu bapa atau guru-guru boleh mendapatkan banyak permainan yang memberi manfaat kepada mereka melalui Internet dengan penggunaan komputer.

Selain itu, ibu bapa mahupun guru-guru boleh menggunakan pen berwarna, kapur, blok atau peralatan pembelajaran yang boleh membantu kanak-kanak ini untuk belajar dengan lebih baik.

Tambahan lagi, apabila mengajar, tenaga pengajar perlu sentiasa memberikan arahan secara perlahan-lahan dengan suara yang kuat dan pengulangan terhadap arahan tersebut juga perlu untuk memastikan kanak-kanak itu memahami arahan dengan baik.

Perkara yang paling penting apabila mengajar golongan kanak-kanak yang menghidap disleksia ini ialah ibu bapa dan guru-guru perlu sentiasa bersabar dan sentiasa mencuba kaedah pengajaran yang berbeza untuk mencari satu kaedah yang paling sesuai dan terbaik dengan kanak-kanak ini.

Jangan khuatir, ramai anak disleksia telah berjaya!

Menurut Presiden Persatuan Disleksia Malaysia, Puan Sariah Amin berkata bahawa “Kanak-kanak disleksia amat sensitif. Jika dimarah, mereka akan menunjukkan sikap negatif dan menjadi nakal.

“Oleh sebab itu kita tidak boleh sewenang-wenangnya memanggil mereka bodoh atau apa jua gelaran yang boleh membuatkan mereka berasa rendah diri.

“Jika mereka berterusan dilayan dengan cara begitu, maka apabila dewasa mereka akan terjebak dengan pelbagai masalah sosial,” kata Sariah yang telah 12 tahun menjadi penaung Persatuan Disleksia Malaysia.

Sebagai ibu bapa, kita perlu memberi sokongan sepenuhnya kepada kanak-kanak disleksia dalam membantunya mengatasi masalah ini.

Telah ramai tokoh terkenal yang berjaya walaupun menghadapi masalah disleksia seperti Steve Jobs, Bill Gates, Tom Cruise, Keira Knightley, Lewis Hamilton (pelumba F1), Orlando Bloom, peninju terkenal Muhammad Ali dan Walt Disney. Ini membuktikan mereka berpotensi untuk berjaya walaupun dengan kondisi ini. – Agensi