Ramai keluarga AS bergantung bantuan makanan

NEW YORK, 19 APRIL Keluarga di Amerika Syarikat (AS) yang terjejas akibat COVID-19, kini bergantung harap sepenuhnya kepada bank makanan untuk meneruskan hidup.

Kira-kira 22 juta penduduk Amerika Syarikat hilang pekerjaan selepas perintah berkurung dilaksanakan di negara itu. Ia menimbulkan kebimbangan mungkin akan lebih ramai rakyat AS yang berada dalam keadaan kelaparan dan berlakunya ‘tsunami’ permintaan bantuan makanan yang sukar dipenuhi. Misalnya, pada Selasa lalu, lebih 1,000 kereta bersusun di pusat pengagihan makanan di Pennsylvania bagi mendapatkan bantuan makanan, direkodkan permintaan itu melonjak kepada 40 peratus pada bulan lalu. Menurut Naib Presiden Komuniti Bank Makanan Greater Pittsburgh, Brian Gulish, lapan pusat bank makanan yang di-kendalikan oleh mereka telah mengagihkan kira-kira 227 tan makanan. “Ramai yang menggunakan perkhidmatan kami untuk pertama kali. Mereka ini tidak pernah hadir ke bank makanan sebelum ini.

“Jadi mereka tidak tahu terdapat 350 pusat agihan di sini. Disebabkan itu, barisan yang beratur bagi mendapatkan bantuan makanan terlalu panjang,” katanya. Antara kejadian paling dramatik berlaku di San Antonio, Texas, apabila 10,000 kereta hadir ke pusat bank makanan itu dengan sebahagian keluarga sanggup datang lebih awal, iaitu pada malam sebelumnya untuk duduk dan menunggu.

Menurut jurucakap rasmi bank makanan di AS, bekalan bahan mentah bagi sumbangan makanan meningkat naik kira-kira 30 peratus, antaranya membabitkan rangkaiannya di Akron, Ohio. “Kami membangunkan rantaian penyedia makanan sejak bertahun-tahun lalu bagi membantu mereka yang memerlukan.

“Bagaimanapun, untuk menyediakan lebih daripada 30 peratus permintaan sehari, ia agak mustahil,” kata Ketua Pegawai Eksekutif Bank Makanan Wilayah Akron-Canton. – AFP

Anggota sukarelawan memasukkan makanan dalam beg untuk diagih kepada penduduk miskin di Pantai Atlantik, Florida. – AFP