‘Ramai lagi lebih layak’ Uyaina calon pelakon dan pengacara popular ABPBH

Kali pertama tercalon pada penganjuran Anugerah Bintang Popular BH (ABPBH) Ke-34, pelakon dan pengacara Uyaina Arshad mengakui terkejut. 

Uyaina menyifatkan rezeki menjadi salah seorang calon di kalangan 20 pesaing kategori Pelakon TV Wanita Popular dan Pengacara TV Popular sebagai momen istimewa sepanjang pembabitannya dalam industri seni tanah air. 

Uyaina berkata, dia tidak menyangka namanya akan tersenarai untuk dua kategori dalam acara anugerah berprestij itu. 

“Ketika mesej peribadi di Instagram dibanjiri ucapan tahniah daripada peminat, saya sangat terkejut.

“Saya tidak pernah berharap nama saya dicalonkan kerana saya percaya ramai lagi calon yang lebih layak dalam dua kategori itu. 

Uyaina menyifatkan rezeki menjadi salah seorang calon di kalangan 20 pesaing kategori Pelakon TV Wanita Popular dan Pengacara TV Popular. – Agensi

“Tapi inilah dinamakan rezeki. Saya bersyukur bakat saya diiktiraf oleh pihak penganjur meskipun masih baru dalam bidang ini,”katanya. 

Menurut pengacara Wanita Hari Ini (WHI) itu, dia tidak meletakkan sebarang harapan tinggi untuk menang sebaliknya sudah gembira dengan pencalonan ini. 

“Sebenarnya ini adalah berita gembira buat peminat saya yang selalu menantikan nama saya dicalonkan dalam anugerah ini.  

“Saya tidak meletakkan sebarang harapan tinggi untuk menang kerana nama-nama yang turut dicalonkan cukup kuat dan berbakat besar. 

“Bagi saya, sudah dicalonkan dalam Top 20 pun dikira satu pencapaian peribadi untuk saya,” katanya. – Agensi