Ramai tampil buat laporan polis terhadap Long Tiger

JOHOR BAHRU, 4 MEI – Ramai yang tampil membuat laporan polis terhadap Long Tiger selepas lelaki Rohingya itu ditahan dan direman sehingga esok berhubung kes pemerasan, kata Ketua Polis Johor, Datuk Ayob Khan Mydin Pitchay.

Beliau berkata terdapat beberapa lagi laporan polis dibuat orang awam di beberapa negeri termasuk Selangor dan Kuala Lumpur, berhubung kesalahan lepas yang didakwa dilakukan lelaki itu.

“Apabila dia ditangkap dan direman, ramai orang awam tampil membuat laporan ke atasnya, mungkin sebelum ini orang takut hendak buat laporan, takut ada tindak balas daripada Long Tiger,” katanya ketika ditemui pemberita di sini hari ini.

Semalam, Ayob Khan menerusi kenyataan mengesahkan Long Tiger atau nama sebenarnya Abdul Hamim Ab Hamid, 34, ditahan semula oleh polis pada Sabtu, selepas dibebaskan daripada tahanan reman yang membabitkan siasatan kes fitnah terhadap seorang pegawai polis dari Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Tangkak.

Long Tiger menjadi bualan warganet akhir-akhir ini kerana kelantangannya sehingga menimbulkan kontroversi termasuk memfitnah pegawai polis melalui sesi siaran langsung di Facebook.

Ayob Khan berkata polis sedang melengkapkan kertas siasatan terhadap ‘Long Tiger’. – Bernama