Saturday, April 20, 2024
24 C
Brunei

    -

    Ramlah Ram jaga privasi elak peminat sakit mental

    Lumrah sebagai seorang artis, penyanyi Ramlah Ram berkata, dia tidak terlepas menjadi mangsa gangguan peminat yang kadang-kala keterlaluan dan berbaur lucah.

    Ramlah, 57, mendedahkan perkara seperti menerima kiriman gambar lucah bukanlah sesuatu yang baharu berikutan dia pernah berhadapan perkara sama melalui kiriman surat peminat ketika zaman kegemilangannya.

    “Perkara ini terjadi sejak zaman dahulu lagi. Sekitar tahun 80an saya sudah merasai pengalaman sebegitu. Zaman dahulu lebih teruk kerana mereka menghantar surat. Macam-macam benda yang dihantar.

    “Sekarang ini di media sosial saya jarang buka jika terima direct message (DM) dari orang tidak dikenali atau apabila saya rasakan sesuatu yang tidak elok. Bagaimanapun ada ketika terbuka juga. Ada yang hantar kata-kata lucah dan gambar yang tidak senonoh.

    “Bagi saya mereka yang melakukan perbuatan seperti itu ada masalah mental,” katanya kepada mStar.

    Sejak awal pembabitan dalam industri seni, Ramlah sering diganggu peminat misteri. – Agensi

    Ramlah bagaimanapun tidak terlalu ambil serius hal tersebut dan enggan memperbesarkan perkara tersebut di media sosial.

    Sementara itu, penyanyi lagu Diam Diam Jatuh Cinta ini turut memberitahu dia lebih berhati-hati menjaga privasi kerana bimbang diganggu individu yang boleh mengancam keselamatan dirinya.

    “Rasanya tidak perlu layan dengan orang yang kerap hantar pesanan lucah dalam media sosial ini. Mereka hanya mahukan perhatian dan kalau saya dedahkan sekalipun masih ada lagi yang akan buat perkara sama.

    “Bahaya zaman dahulu dan sekarang berbeza. Ketika awal pembabitan dalam dunia seni, saya pernah rasa takut untuk pulang ke rumah selepas membuat persembahan kerana bimbang ada orang akan ikut.

    “Jadi sekarang ini saya lebih menjaga privasi dan tidak terlalu mendedahkan di mana saya berada. Pengalaman dahulu membuatkan saya lebih berhati-hati,” ujarnya.

    Ramlah ditemui ketika menghadiri Showcase Amal Keluarga Malaysia: Artis Legenda 3.0 yang berlangsung di Bandar Baru Bangi, baru-baru ini.

    Acara yang dianjurkan oleh Nizam Laksamana Production itu turut menampilkan artis lain seperti Ezad Lazim, Zarul Umbrella, Baggio, Tam Spider, Ibnor Riza, Rahmad Mega, Daqmie serta Nizam sendiri.

    Kutipan daripada jualan meja majlis ini diserahkan kepada pertubuhan bukan kerajaan (NGO), Cancer Survivors Malaysia yang akan disalurkan kepada pesakit kanser yang memerlukan. – Agensi

    - Advertisment -

    Disyorkan Untuk Awda

    Mahkamah batalkan sabitan bekas Presiden Maldives Abdulla Yameen

    NEW DELHI, 19 APRIL - Mahkamah di Maldives membatalkan sabitan bekas Presiden Abdulla Yameen atas tuduhan rasuah, kelmarin. Panel tiga hakim Mahkamah Tinggi memutuskan bahawa...