Penyanyi Ramlah Ram, 55, menepis dakwaan seorang anti sosial atau mahu menjaga eksklusif hanya kerana jarang kelihatan di acara hiburan.
Sebaliknya, kata Ramlah, dia lebih selesa berada di rumah bersama keluarga daripada berpeleseran tidak tentu hala, sejak menceburkan diri dalam bidang seni, kira-kira tiga dekad lalu.
“Saya bukan seorang yang anti sosial tetapi memang sifat saya sejak dahulu lagi. Jika tak bekerja, saya lebih suka duduk di rumah bersama keluarga. Bercakap dengan kucing peliharaan lebih membuatkan saya berasa tenang.
“Ada ketika saya keluar berjumpa kawan untuk minum kopi. Jika perkara itu membabitkan soal kerja, saya akan pergi. Tetapi, jika pergi acara hiburan untuk suka-suka atau mahu tonjolkan diri, itu bukan saya,” katanya kepada media. Penyanyi popular dengan lagu Kau Kunci Cintaku Dalam Hatimu itu berkata, dia tidak mempunyai teman rapat dalam kalangan artis dan kebanyakan rakannya adalah peminat sendiri.
“Dahulu, saya ada berkawan rapat dengan golongan artis, tetapi sekarang sudah tiada. Saya kini lebih hati-hati dalam memilih kawan. Jika kawan biasa, saya tiada masalah tetapi kalau nak rapat dan boleh keluar bersama, ia tidak semudah itu.
“Pengalaman masa lalu ditikam belakang dan hasutan orang membuatkan saya berwaspada. Untuk menjadi kawan rapat, saya kena selesa dan percaya kepadanya,” katanya ketika ditemui pada majlis pelancaran single terbaharu berjudul Masar Cinta di Damansara Perdana, di sini, semalam.
Lagu berentak balada ini adalah hasil ciptaan presiden kelab peminatnya, Allahyarham ID Mifzal yang meninggal dunia, tiga tahun lalu manakala liriknya ditulis Ismi Rusli.
Masar Cinta sudah boleh didapati di semua pelantar digital dan muzik video juga boleh dilayari dalam laman YouTube. – Agensi
