Ramos pecahkan penampilan Sepanyol

OSLO, 13 OKT – Sergio Ramos memecahkan rekod penampilan antarabangsa Sepanyol awal pagi tadi apabila dia mencipta 168 kaps ketika seri 1-1 berdepan Norway untuk mengatasi Iker Casillas.

Kapten Sepanyol itu dinamakan dalam kesebelasan utama di Oslo untuk kelayakan Euro 2020 oleh jurulatih Robert Moreno, 14 tahun sejak membuat kemunculan pertama ketika menang 3-0 dalam saingan persahabatan mengatasi China.

Pemain berusia 33 tahun itu adalah sebahagian daripada skuad Sepanyol yang merangkul Piala Dunia 2010, Euro 2008 dan Euro 2012.

Dia mengambil alih tugasan kapten Sepanyol pada 2016 selepas perlawanan terakhir penjaga gol, Casillas.

Pertahanan tengah itu menyamai catatan Casillas 167 perlawanan bulan lalu berdepan Faroe Islands.

“Semua ini adalah peribadi,” kata Ramos. “Saya rela menukar kaps ke-168 untuk kemenangan. Tetapi rekod ini adalah penghargaan yang hebat selepas bertahun-tahun dan ia satu kebanggaan.

“Saya emosi setiap kali memakai jersi ini. Ia tidak akan berubah dan saya harap akan terus melakukannya untuk tahun-tahun akan datang.” – AFP

Ramos (kanan) meraih kaps ke-168 untuk perlawanan kelayakan Euro menentang Norway di Oslo, kelmarin. – AFP