Ramos tinggalkan Real Madrid selepas 16 musim

MADRID, 17 JUN – Kapten Real Madrid, Sergio Ramos akan meninggalkan pasukan selepas karier yang penuh gemilang dan menjulang banyak trofi sepanjang 671 perlawanan dan 16 musim, kelab mengumumkan perkara tersebut kelmarin.

Real Madrid mengumumkan ‘acara penghargaan dan selamat tinggal’ untuk pemenang Liga Juara-Juara sebanyak empat kali itu hari ini dan dihadiri oleh presiden kelab, Florentino Perez.

Pengumuman tersebut dibuat selepas kempen 2020/2021 yang diselubungi dengan kecederaan di mana pemain berusia 35 tahun itu hanya membuat 21 penampilan dalam semua kejohanan, jumlah penampilan paling sedikit sepanjang 16 tahun kariernya di Madrid.

Ramos hanya bermain sebanyak lima kali sejak awal tahun ini.

Pemain pertahanan veteran dan ketua pasukan kebangsaan itu dikeluarkan oleh jurulatih Sepanyol, Luis Enrique dari skuad Euro 2020 kerana pemain tersebut kurang waktu bermain.

Gambar fail reaksi Sergio Ramos menjulang trofi selepas menjuarai kempen La Liga pada musim lalu. – AFP

Ramos menyertai Real Madrid dari Sevilla pada 2005, pemain Sepanyol tunggal semasa Perez menjadi presiden kali pertama, era pertama Galacticos yang menyaksikan bintang besar ditandatangani setiap musim.

Seorang pemain pertahanan yang kental, Ramos juga penjaring prolifik, menjaringkan 101 gol untuk Real termasuk gol penyamaan pada minit ke-93 di aksi final Liga Juara-Juara 2014 menentang seteru rapat, Atletico Madrid.

Mereka kemudian mendominasi seteru mereka 4-1 selepas masa tambahan. Ini disusuli dengan kejayaan memenangi Liga Juara-Juara sebanyak empat kali dalam tempoh lima tahun.

Dia menjadi salah seorang pemain yang paling berjaya memenangi trofi La Liga, Liga Juara-Juara sebanyak empat kali dan menjulang trofi Copa del Rey sebanyak dua kali.

Dia juga pernah memenangi Piala Dunia pada 2010 dan Kejuaraan Eropah pada 2008 dan 2012. – AFP