Rampas pesawat, curi kargo

KOKOPO, PAPUA NEW GUINEA, 26 NOV – Syarikat penerbangan sewa di Papua New Guinea hari ini berkata sekumpulan lelaki bersenjata merampas sebuah daripada pesawatnya dan memaksa juruterbang terbang ke landasan tidak digunakan sebelum melarikan diri bersama kargo.

Tropicair memberitahu AFP, lapan lelaki bersenjata mendekati pesawat itu ketika ia mengisi minyak di Gasmata, di pulau New Britain dan memaksa juruterbang berlepas.

Jurucakap syarikat berkata, tiada penumpang dalam pesawat itu ketika kejadian.

“Sebaik tiba di landasan, mereka mencuri bagasi dan kargo yang ada dalam pesawat itu dan melarikan diri dari kawasan itu.”

“Kapten tidak cedera ketika kejadian dan pesawat juga tidak mengalami kerosakan,” kata Matthew Brutnall.

Pesawat tersebut sudah kembali ke Port Moresby. Polis Diraja Papua New Guinea mengesahkan mereka sedang menyiasat insiden itu.

Komander Polis West New Britain, John Midi memberitahu AFP yang ‘polis masih belum mempunyai butiran mengenai kargo yang dicuri dan kami akan bergantung pada maklumat yang diberikan oleh pengadu.’ – AFP