Rampasan kuasa jejas perniagaan jed Myanmar

MANDALAY, 5 NOV – Pengusaha jed Myanmar berdepan situasi sukar untuk menjual batu permata yang semakin berkurangan, apabila terpaksa lari daripada tentera junta dan mengelak serangan pemberontak ketika industri berbilion dolar itu semakin merosot beberapa bulan selepas berlakunya rampasan kuasa di negara itu.

Pertempuran di sekitar lombong jed terbesar di dunia menjejaskan lagi penggalian yang sudah pun terjejas disebabkan pandemik COVID-19, sekali gus menyekat bekalan.

Untuk rekod, Myanmar adalah salah satu negara pengeksport utama jed dunia.

Myanmar adalah sumber jed terbesar di dunia, dengan industri ini sebahagian besarnya menerima permintaan berterusan dari China.

Kebanyakan batu permata ini melalui bandar kedua terpenting, Mandalay, yang menjadi lokasi Kyauksein Pagoda setinggi 23 meter, iaitu sebuah kuil Buddha yang dibina menggunakan beribu-ribu kilogram batu permata berharga itu.

Kini, kompleks itu sunyi sepi, dengan hanya segelintir orang yang berdoa di kubah biru dan merahnya yang berkilauan.

“Perniagaan merosot teruk. Kadang-kadang, orang panik apabila tentera datang meronda, dan mereka lari. Jika seorang lari, yang lain pun turut ikut.

Kemudian askar melepaskan tembakan amaran untuk mengawal keadaan,” kata seorang peniaga jed, yang menghabiskan masa berbulan-bulan cuba menjual batu permatanya di tepi jalan Mandalay ketika wabak dan pergolakan menyebabkan pasaran jed utama ditutup. – AFP

Gambar bertarikh 10 Oktober 2021 menunjukkan wanita bekerja di bengkel jed di rantau Sagaing, Myanmar. – AFP