BANDAR SERI BEGAWAN, 6 Ogos 2008 – Ekoran harga minyak yang tinggi di negara jiran, kegiatan penyeludupan minyak semakin kerap dengan penyeludup cuba untuk mengaut keuntungan mudah melalui kegiatan penyeludupan minyak bersubsidi dari Brunei ke negara jiran.
Dalam usaha berterusan untuk membanteras kegiatan penyeludupan barangan terkawal itu, seramai 14 pegawai penguat kuasa Jabatan Kastam dan Eksais Diraja hari ini berjaya menumpaskan dua percubaan menyeludup minyak bersubsidi menggunakan perahu di tempat berasingan hasil pemantauan Bahagian Pencegahan dan Perisikan.
Dalam operasi pada kira-kira pukul 1:45 petang, pegawai penguat kuasa menahan sebuah perahu yang disyaki membawa keluar minyak diesel bersubsidi ke negara jiran menggunakan laluan air dan berjaya merampas sebanyak 118 tong berisi minyak diesel.
Ekoran rampasan itu, tiga lelaki warga tempatan berusia antara 30 hingga 40 tahun ditahan untuk membantu siasatan.
Sementara itu, dalam operasi di tempat berasingan, pihak kastam menahan sebuah perahu yang dipandu seorang lelaki warga tempatan berusia 51 tahun dan hasil pemeriksaan ke atas perahunya pegawai penguat kuasa menemui tiga tong berisi minyak regular.
Sehubungan itu pihak Kastam membuat pemeriksaan di kediaman lelaki berkenaan dan menemui 11 tong berisi minyak regular.
Hasil rampasan itu dua perahu yang dianggarkan bernilai $16,000 yang digunakan dalam kegiatan berkenaan dirampas bersama 2,360 liter minyak diesel bernilai $731.60 serta minyak Regular bernilai $100.80.
Rampasan itu sekali gus menjadi antara rampasan terbesar sehingga kini terhadap kegiatan penyeludupan minyak menggunakan laluan air bagi tahun ini.
Kejayaan kastam itu juga membawa kepada penahanan empat lelaki bagi membantu siasatan yang kemudiannya dibebaskan menggunakan jaminan kastam.
Jabatan Kastam dan Eksais Diraja juga menyatakan penghargaan kepada orang ramai atas maklumat yang disalurkan sambil menyeru mereka supaya terus menyalurkan maklumat mengenai kegiatan penyeludupan barang tegahan dan larangan kastam melalui talian kecemasan jabatan tersebut.