Ramsey sedia berpindah ke Juventus

LONDON, 11 Jan – Pemain tengah Arsenal, Aaron Ramsey dijangka berpindah ke pasukan juara Itali, Juventus apabila kontraknya berakhir bersama Gunners pada musim panas ini, menurut laporan yang dikeluarkan semalam.

Pemain antarabangsa Wales itu akan mengakhiri tempoh 10 tahun di Arsenal pada akhir musim ini selepas mengadakan perbincangan bersama kelab gergasi Liga Perdana Inggeris itu pada September lalu.

Menurut akhbar The Guardian, Ramsey akan menjadi pemain kedua Juventus yang menerima bayaran tertinggi selepas Cristiano Ronaldo dengan menandatangani perjanjian lima tahun bersama Juventus yang dilaporkan bernilai AS$179,000 seminggu.

Ramsey, 28, boleh menandatangani perjanjian pra kontrak bersama kelab luar dan dikaitkan dengan banyak nama besar bersama Bayern Munich, Real Madrid, Paris Saint-Germain dan Inter Milan turut dilaporkan berminat untuk mendapatkan khidmatnya.

Selepas berpindah daripada kelab lamanya, Cardiff City dengan nilai 4.8 juta pound pada 2008, Ramsey sudah menjaringkan 62 gol dalam 354 penampilan bersama Arsenal dan menang Piala FA pada 2014, 2014 dan 2017.

Sekalipun masa depannya sudah jelas selepas berpindah dari Emirates, Ramsey terus memainkan peranan besar dalam musim pertama Unai Emery mengendalikan Arsenal, dengan menjaringkan tiga gol dalam 25 penampilan.

Emery semalam menegaskan bahawa dia masih mengharapkan Ramsey sebelum musim ini berakhir malah sekalipun jika perjanjiannya bersama Juventus belum dimuktamadkan.

“Saya katakan kepadanya setiap hari mengenai idea dan fokus saya. Kami perlukan khidmatnya,” kata Emery.

“Dalam perlawanan akhir, saya sangat gembira dengannya. Saya bertanyakan kepadanya di Blackpool sekiranya dia sedia untuk membantu kami dan dia berkata “Ya, saya mahu bermain” dan dia bermain dengan sikap dan komitmen yang besar kepada kami.” – AFP

Reaksi Ramsey selepas meledakkan gol buat pasukannya ketika menentang Fulham di Stadium Emirates di London pada 1 Januari lalu. – AP