Wednesday, May 14, 2025
25.2 C
Brunei

    Berita Terkini

    Rancang aktiviti imarah masjid

    Oleh Efwad Rashyad

     

    BANDAR SERI BEGAWAN, 29 Jan – Pelbagai aktiviti dan rancangan telah direncanakan bagi kegiatan keagamaan dan sukan yang boleh menarik penglibatan para ahli Jawatankuasa (AJK) Masjid Kampung Sungai Besar, para jemaah dan golongan belia dalam usaha untuk memakmurkan masjid dan mengeratkan hubungan silaturahim di kalangan para jemaah dan penduduk kampung.

    “Kita telah merancang pelbagai aktiviti yang boleh menarik minat para jemaah, muslimin dan muslimah serta belia dan beliawanis termasuklah penduduk kampung untuk sama-sama menjayakannya”, jelas Ketua Imam Masjid Kampung Sungai Besar, Pengiran Mohd Sallehin bin Pengiran Tejudin pada majlis khatam Al Quran kali pertama tahun 2018 bagi masjid berkenaan, yang diadakan pada awal pagi Jumaat.

    Menurutnya lagi, antara aktiviti berkenaan termasuklah Bengkel Fardu Kifayah bagi muslimah; Bacaan Ratib Al Attas bersempena Hari Kebangsaan, Sesi Taaruf bagi Belia dan Beliawanis dan perlawanan boling antara AJK Masjid Kampung Sungai Besar.

    Para peserta khatam Al-Quran bergambar kenangan sempena majlis khatam Al-Quran kali pertama tahun 2018 di Masjid Kampung Sungai Besar.

    Beliau yakin perancangan aktiviti sepanjang awal tahun ini, akan mendapat sambutan dan sokongan daripada pihak-pihak yang terlibat.

    Sementara itu, beliau turut gembira atas amalan terpuji para jemaah yang meneruskan pembacaan Al-Quran terutama sekali selepas sembahyang Fardu Subuh yang sudah tentu akan mendapat ganjaran yang besar daripada Allah SWT sekali gus sebagai usaha mengimarahkan masjid berkenaan.

    “Kita tahu amalan membaca Al-Quran sangat besar ganjaran pahala, apalagi ia (membaca Al Quran) dilakukan secara beristiqamah”, ujarnya sambil menyatakan rasa syukur atas terlaksananya majlis khatam Al-Quran yang pertama bagi tahun 2018 di masjid berkenaan.

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda