Rancang dan utamakan keselamatan sebelum mendaki bukit

Oleh Sim Y. H.

Sejak kebelakangan ini, dapat dilihat peningkatan yang ketara dalam kalangan individu-individu yang menyertai aktiviti rekreasi dan riadah seperti mendaki bukit.

Mendaki bukit atau lebih dikenali sebagai hiking di negara kita merupakan sejenis senaman kardio dan aktiviti fizikal berat yang melibatkan pengaktifan otot keseluruhan badan terutama sekali pada bahagian paha dan kaki.

Pada kebiasaannya, aktiviti mendaki bukit dilakukan oleh individu yang sudah lama bergiat aktif dan bukan dilakukan oleh individu yang baharu memulakan aktiviti sukan aktif.

Kegiatan mendaki bukit mempunyai banyak manfaat termasuk dapat mengurangkan risiko penyakit-penyakit tidak berjangkit seperti penyakit jantung, darah tinggi dan strok, dapat membantu mengawal berat badan serta menguatkan kekuatan otot dan tulang badan.

Dalam hubungan itu, Kementerian Kesihatan dalam kenyataannya yang dikeluarkan baru-baru ini, turut memberikan nasihat keselamatan dan kesihatan kepada orang ramai yang melakukan aktiviti-aktiviti rekreasi berkenaan bagi mengelakkan sebarang kecederaan dan masalah kesihatan yang serius serta perkara yang tidak diingini berlaku.

Kegiatan mendaki bukit seperti di Taman Riadah Bukit Sipatir, Bukit Silat dan banyak lagi kawasan riadah berbukit lain menjadi semakin popular dalam kalangan masyarakat, namun adalah amat penting untuk memastikan mereka yang menyertai kegiatan berkenaan tahu akan tahap kecergasan dan keupayaan diri mereka sebelum memulakan kegiatan mendaki. – Gambar fail

Jika mereka menghidapi penyakit kronik, penyakit tidak berjangkit seperti penyakit jantung dan diabetes atau mempunyai risiko seperti tekanan darah tinggi, berat badan berlebihan atau sedang mengambil ubat-ubatan untuk masalah kesihatan jantung, pernafasan dan diabetes, supaya akan mendapatkan nasihat doktor terlebih dahulu sebelum memulakan sebarang aktiviti sukan seperti mendaki bukit.

Sebagai langkah keselamatan, orang ramai dinasihatkan untuk memulakan aktiviti atau kegiatan fizikal yang ringan dahulu dan tingkatkan intensiti secara perlahan. Jika mereka hendak mendaki bukit, mereka dinasihatkan untuk mulakan dengan perlahan dan sebaik-baiknya pada tanah yang rata dan elakkan tempat yang curam atau bukit tinggi serta membawa peralatan dan menggunakan pakaian serta kasut yang sesuai untuk mendaki bukit bagi mengelakkan kecederaan.

Orang ramai juga dinasihatkan untuk merancang lebih awal sebelum mereka meneruskan aktiviti mendaki dengan memaklumkan kepada keluarga atau teman terdekat mengenai dengan aktiviti mendaki yang akan dilakukan.

Mereka perlu membuat perancangan laluan yang akan dilalui, membawa air minuman yang mencukupi dan membawa telefon bimbit mereka serta mengelak mendaki bukit pada lewat petang atau malam atau ketika ramalan cuaca tidak menentu.

Sebagai langkah berjaga-jaga, orang ramai juga disarankan untuk membawa wisel, lampu dan kot hujan ringan sebagai salah satu peralatan asas untuk setiap aktiviti mendaki, mereka turut disarankan untuk membawa sedikit makanan karbohidrat seperti pisang, kurma, kismis dan lain-lain, serta air atau minuman secukupnya untuk memberi tenaga dan mengelakkan penyahhidratan.

Di samping itu, mereka juga disarankan untuk mendaki bukit dengan teman dan mengelakkan daripada mendaki berseorangan atau berpecah daripada kumpulan mendaki serta untuk memastikan masa dan cuaca adalah sesuai bagi mendaki bukit.

Mereka juga disarankan untuk berhenti melakukan aktiviti dan berehat seketika apabila mereka merasakan letih atau pening atau susah bernafas atau merasa degupan jantung meningkat dengan cepat. Mereka harus menunggu hingga kadar degupan jantung kembali kepada normal atau pada kadar yang rasa selesa, sebelum meneruskan mendaki bukit serta sekiranya berlaku kecemasan, atau mereka merasa tidak dapat meneruskan mendaki bukit berkenaan, mereka dinasihatkan supaya jangan panik dan jangan bergerak dari tempat di mana mereka berada serta untuk menghubungi Talian Mencari & Menyelamat di 998 dengan segera.

Tidak dapat dinafikan bahawa mengamalkan gaya hidup yang sihat dan aktif menerusi kegiatan riadah serta senaman seperti mendaki bukit merupakan aktiviti yang baik bagi mereka yang ingin bersenam sambil beriadah.

Tetapi mereka yang melakukan kegiatan atau aktiviti berkenaan harus peka mengenai tahap kecergasan mereka dan keadaan fizikal. Mereka harus memastikan bahawa diri mereka benar-benar berkemampuan untuk menyertai kegiatan mendaki bukit sebelum memulakan aktiviti berkenaan.

Oleh itu adalah amat penting bagi mereka untuk bermula secara perlahan dalam aktiviti berkenaan terutama bagi mereka yang baru mula untuk bergiat dalam aktiviti berkenaan dan setelah keadaan mereka menjadi lebih aktif, mereka boleh meningkatkan tahap aktiviti mendaki bukit.

Dalam menyertai sebarang aktiviti termasuk aktiviti mendaki bukit, adalah amat penting untuk mengutamakan keselamatan supaya tidak berlaku sebarang insiden yang tidak diingini.