Rancang kewangan masjid sebaiknya

Oleh Syahmi Hassan

BANDAR SERI BEGAWAN, 4 DIS – Pengendalian Bengkel Pengurusan Kewangan Tabung Masjid adalah amat diperlukan dan memang sangat bersesuaian diadakan bagi pegawai-pegawai dan ahli-ahli jawatankuasa (AJK) takmir masjid yang menguruskan hal ehwal masjid.

Ini kerana kesempurnaan pengurusan dan pentadbiran hal ehwal masjid sedikit sebanyak bergantung kepada kecekapan dan kredibiliti mereka. Dalam kata lain, mereka memainkan peranan penting dalam mengendalikan pengurusan dan pentadbiran hal ehwal kewangan masjid.

Perkara ini ditekankan oleh Setiausaha Tetap di Kementerian Hal Ehwal Ugama (KHEU), Dato Seri Setia Haji Abdul Aziz bin Orang Kaya Maharaja Lela Haji Yussof pada Majlis Penutup dan Penyampaian Sijil Bengkel Pengurusan Kewangan Tabung Masjid bagi masjid, surau dan balai ibadat seluruh negara yang berlangsung di Dewan Serbaguna Jame’ ‘Asr Hassanil Bolkiah, Kiarong, hari ini.

Menurut beliau lagi, bengkel itu memberikan mereka pengetahuan, kemahiran dan pengalaman yang berguna untuk mereka yang terlibat sama dalam bidang kewangan tabung masjid.

Dengan adanya bengkel itu, beliau berharap segala kelemahan dan kekurangan dalam pengurusan kewangan masjid dapat diatasi dan ditangani.

Dato Seri Setia Haji Abdul Aziz menyampaikan sijil kepada para peserta yang mengikuti bengkel tersebut.
Pegawai-pegawai dan AJK takmir masjid yang hadir pada majlis penutup bengkel berkenaan.

Begitu juga dengan mempraktikkan amalan-amalan baik dalam pengurusan masjid seperti memastikan tabung-tabung masjid dijaga dengan sebaiknya, kutipan wang tabung masjid dikira dengan telus dan amanah sebaik saja tabung masjid dibuka pada setiap minggu dan berjimat dalam berbelanja.

“Selain itu segala penggunaan wang masjid hendaklah dirancang dengan sebaiknya menurut tujuan ianya diinfakkan dengan jelas jangan sampai berlaku pembaziran dan penyalahgunaan,” tekannya.

Beliau turut menekankan bahawa menjadi tangggungjawab pegawai masjid untuk berbincang bersama dengan ahli jawatankuasa takmir masjid dalam merancang penggunaan wang masjid dan perlu memohon kebenaran ketua jabatan terlebih dahulu sebelum menggunakan kewangan masjid jika memerlukan dalam jumlah yang besar.

Pada majlis itu, Dato Seri Setia Haji Abdul Aziz menyampaikan sijil kepada para peserta yang mengikuti bengkel-bengkel yang telah diadakan di masjid-masjid, surau dan balai ibadat di keempat-empat daerah sebelum ini.

Para peserta terdiri daripada kalangan pegawai-pegawai masjid dan AJK takmir masjid yang menjawat jawatan bendahari, penolong bendahari dan pemeriksa kira-kira serta yang menangani hal ehwal pengurusan kewangan tabung masjid.

Majlis penutup turut diserikan dengan ceramah motivasi yang disampaikan oleh Ketua Unit Kaunseling dan Kefahaman Agama, Pejabat Setiausaha Tetap, KHEU, Awang Muhammad Yusof bin Haji Abdul Majid.

Bengkel yang dikendalikan oleh Bahagian Idarah, Jabatan Hal Ehwal Masjid itu bertujuan untuk meningkatkan pengetahuan pegawai masjid dan AJK takmir masjid mengenai peraturan-peraturan kewangan yang dilaksanakan di Negara Brunei Darussalam khususnya peraturan cara-cara melaksanakan Peraturan Kewangan Masjid-masjid Negara Brunei Darussalam 1408/1988 dan Aturan-aturan Pengurusan dan Pentadbiran Wang Masjid, 2012.

Melalui bengkel tersebut juga dihasrat dapat menyelaras peraturan, menambah baik prosedur, borang-borang dan amalan baik dalam pengurusan kewangan tabung masjid agar ia lebih efisen dan teratur khususnya pada para peserta.

Bengkel itu juga bertujuan meningkatkan kepentingan dan kesedaran dalam penyediaan laporan penyata kewangan tabung masjid agar ianya lebih teratur dan selaras dengan peraturan.