Rancang kewangan sebelum bersara

PADA Januari 2017, Shahrudin Ahmad akan mencapai usia 55 tahun. Meskipun akan bergelar pesara dalam tempoh lima tahun lagi, beliau sudah layak mengeluarkan caruman Kumpulan Simpanan Wang Pekerja (KWSP). Seperti kebanyakan pekerja seusianya, beliau sudah membuat perancangan sama ada mahu membuat pengeluaran penuh, separuh atau menyimpan sehingga usia persaraan 60 tahun.

Bagaimanapun, pertemuan Shahrudin dengan pegawai khidmat persaraan (RAS) baru-baru ini telah membuka matanya tentang realiti yang perlu ditempuhi selepas bersara nanti. RAS yang ditubuhkan dua tahun lepas membantu pencarum membuat keputusan bagi merancang simpanan KWSP yang dimiliki agar ia dapat dimanfaatkan ketika persaraan.

Berdasarkan kajian, kebanyakan rakyat Malaysia menghabiskan wang simpanan persaraan mereka dalam tempoh tiga hingga lima tahun. Lebih membimbangkan, berdasarkan statistik 2015, sebanyak 65 peratus ahli KWSP berumur 54 tahun hanya mempunyai simpanan RM50,000 dan ke bawah, sedangkan jangka hayat penduduk meningkat sehingga 75 tahun.

Menurut Pegawai RAS Petaling Jaya, M. Mogana, perancangan kewangan yang rapi untuk kehidupan yang selesa selepas bersara perlu dilakukan sebaik sahaja mula memasuki alam pekerjaan. Sehingga Oktober tahun lepas, seramai 19,678 ahli KWSP telah mendapatkan khidmat RAS di cawangan KWSP yang menawarkan khidmat itu.

“Peranan RAS lebih kepada memberi pandangan dan nasihat serta membimbing ahli menguruskan simpanan supaya dapat menjana pendapatan bulanan dan bertahan lama bagi membiayai kos hidup semasa persaraan. “Biasanya, jika ahli dalam lingkungan 35 tahun ke atas, pendekatan lebih kepada perancangan persaraan, manakala ahli berumur bawah 35 pendekatan lebih kepada perancangan kewangan,” katanya kepada Bernama baru-baru ini.

Sehingga Oktober tahun ini, seramai 19,678 ahli KWSP telah mendapatkan khidmat RAS di cawangan KWSP.
Sehingga Oktober tahun ini, seramai 19,678 ahli KWSP telah mendapatkan khidmat RAS di cawangan KWSP.
KWSP sentiasa berusaha menambah baik perkhidmatan, antaranya melengkapkan pegawai RAS dengan ilmu pengetahuan terutama bidang terkini berkaitan perancangan kewangan.
KWSP sentiasa berusaha menambah baik perkhidmatan, antaranya melengkapkan pegawai RAS dengan ilmu pengetahuan terutama bidang terkini berkaitan perancangan kewangan.

Khidmat nasihat

Antara maklumat yang sering diberitahu kepada ahli termasuklah skim pengeluaran fleksibel 55 tahun, caruman sukarela, caruman melebihi kadar berkanun, skim persaraan 1Malaysia serta lain-lain skim pengeluaran KWSP. Masih ramai ahli KWSP yang tidak sedar kepentingan merancang persaraan kerana apabila sudah boleh membuat pengeluaran pada usia 55 tahun, mereka berbelanja serta menghabiskan wang tanpa mengetahui antara keperluan dan kehendak.

Mogana memberi contoh kes kendaliannya membabitkan seorang ahli berusia 58 tahun yang mempunyai simpanan KWSP sebanyak RM300,000. Ketika usia 55 tahun, beliau membuat sedikit pengeluaran. Setelah membuat pengiraan perbelanjaan bulanan termasuk hutang yang masih berbaki, ahli berkenaan memerlukan kira-kira RM3,000 sebulan untuk menampung keperluannya.

Jadi, dia memerlukan RM540,000 untuk jangka masa 20 tahun selepas bersara sedangkan simpanannya RM300,000 sahaja. “Dalam situasi tersebut, kita beri beberapa langkah yang boleh diambil oleh ahli seperti terpaksa bekerja lagi selepas bersara pada usia 60 tahun atau menukar gaya hidup agar simpanan yang ada mencukupi untuk menampung kehidupan seterusnya,” katanya.

Katanya, pada umur 20-an, tabiat menyimpan wang harus dijadikan amalan dan membuat pembahagian wang simpanan kepada beberapa perkara antaranya aset, pendidikan, anak dan persaraan. Ketika usia 30-an, kebanyakan ahli sudah mampu membuat pembayaran pendahuluan pembelian rumah dan ia adalah masa terbaik merancang persaraan sekiranya tidak berkesempatan melakukannya pada umur 20-an.

Peranan RAS lebih kepada memberi pandangan dan nasihat serta membimbing ahli menguruskan simpanan supaya dapat menjana pendapatan bulanan dan bertahan lama bagi membiayai kos hidup semasa persaraan.
Peranan RAS lebih kepada memberi pandangan dan nasihat serta membimbing ahli menguruskan simpanan supaya dapat menjana pendapatan bulanan dan bertahan lama bagi membiayai kos hidup semasa persaraan.

Pada usia 40-an, kebiasaannya ahli sudah berkeluarga dan fokus diberikan lebih kepada simpanan pendidikan anak. “Golongan usia ini perlu menilai semula pengurusan kredit supaya tidak terbeban dengan hutang menjelang kehidupan persaraan. “Selain itu, elok juga membuat portfolio pelaburan dan pengurusan harta untuk menjamin masa hadapan yang lebih baik,” katanya.

Sementara itu, pada usia 50-an, sebaiknya meneruskan simpanan kerana masa semakin suntuk. Ketika itu, tidak boleh mengambil risiko yang terlalu tinggi untuk mengembangkan simpanan, kata Mogana.

Seluruh negara

Melihat kepentingan RAS terutama memberi kesedaran kepada ahli, peranannya telah diperluaskan ke seluruh negara. Sehingga kini, terdapat 18 lokasi penempatan pegawai RAS di cawangan KWSP seluruh negara termasuk Sabah dan Sarawak. KWSP merancang membuat penambahan di 10 cawangan lain pada tahun hadapan. “Sasaran kita adalah untuk ahli berumur 40 tahun ke atas. Pada masa depan, fokus KWSP akan lebih kepada semua peringkat umur terutama lepasan universiti dan pelajar. “Ini adalah untuk memberi kesedaran pentingnya perancangan persaraan,” katanya yang menambah, perkhidmatan RAS bermula pukul 8.15 pagi hingga 4.45 petang.

Menurut Mogana lagi, KWSP sentiasa berusaha menambah baik perkhidmatan, antaranya melengkapkan pegawai RAS dengan ilmu pengetahuan terutama bidang terkini berkaitan perancangan kewangan. Selain itu, saluran perkhidmatan untuk golongan muda yang lebih menyukai perkhidmatan secara dalam talian sedang ditambah baik. Antara inisiatif yang sedang dirangka termasuk mewujudkan perkhidmatan RAS melalui Pusat Pengurusan Panggilan (CMC) KWSP, microsite RAS dan Robo Advisor. – Bernama