KYIV, 21 FEB – Kremlin memberi amaran bahawa tidak ada rancangan yang kukuh untuk sidang kemuncak antara pemimpin Rusia dan Amerika Syarikat (AS), kerana diplomat berusaha mengelak ancaman pencerobohan Rusia ke atas Ukraine, hari ini.
Rancangan pertemuan antara ke-dua-dua presiden itu telah diperjuangkan oleh Perancis dan dialu-alukan dengan berhati-hati oleh Ukraine sebagai satu cara untuk mengelak perang di Eropah.
Walau bagaimanapun, jurucakap Putin, Dmitry Peskov berkata bahawa ia adalah terlalu awal untuk berbincang tentang sebarang rancangan khusus untuk menganjurkan apa sahaja jenis sidang kemuncak dan beliau sambil menambah bahawa tiada rancangan yang kukuh telah dibuat.
Sementara itu, Presiden Perancis, Emmanuel Macron menelefon Putin kelmarin dan selepas itu pihak pejabatnya berkata bahawa kedua-dua Rusia dan Biden terbuka kepada idea tersebut.
Sidang kemuncak itu akan diteruskan, bagaimanapun, hanya dengan syarat Rusia tidak menyerang Ukraine.
“Ada harapan diplomatik,” kata menteri Perancis bagi hal ehwal Eropah, Clement Beaune kepada televisyen LCI.
“Jika masih ada peluang untuk mengelak peperangan, mengelak konfrontasi dan membina penyelesaian politik dan diplomatik, maka kita perlu mengambilnya,” katanya. Tetapi di Washington, seorang pegawai kanan pentadbiran AS memberitahu AFP “masa dan format akan ditentukan. – AFP