Rancang strategi, pacu transformasi

Oleh Ak Zaki Kasharan

TUTONG, 5 MAC – Semua warga Jabatan Penjara digesa untuk sentiasa mempunyai disiplin yang tinggi, berwibawa, berintegriti, jujur, amanah dan tidak terlibat dengan mana-mana kegiatan yang tidak berfaedah seperti rasuah dan penyalahgunaan dadah dengan mentaati ajaran-ajaran agama Islam dan mengamalkan konsep Melayu Islam Beraja.

Dalam menjejak usia ke-66 tahun ini, Jabatan Penjara juga diseru untuk merancang perkembangan tenaga manusia dengan baik dan teratur, selari dengan revolusi perindustrian 4.0 yang memerlukan semua warganya untuk memikirkan semula dasar dan strategi untuk menangani keperluan kerja yang berubah pada masa akan datang.

Perkara tersebut antara yang ditekankan oleh Menteri Hal Ehwal Dalam Negeri, Yang Berhormat Pehin Orang Kaya Seri Kerna Dato Seri Setia (Dr) Haji Awang Abu Bakar bin Haji Apong semasa berucap pada Upacara Perbarisan sempena Penubuhan Jabatan Penjara ke-66, Tahun 2020 yang berlangsung pagi tadi di Padang Kawad, Pusat Latihan, Jabatan Penjara.

Yang Berhormat Pehin seterusnya menyeru kepada seluruh warga Jabatan Penjara agar sentiasa menerokai ilmu pengetahuan yang lebih luas, berinovatif, berdaya tahan, berkeyakinan serta melipat gandakan usaha ke arah meningkatkan penyampaian perkhidmatan.

“Bagi menggalakkan semangat memacu momentum transformasi jabatan, Jabatan Penjara akan memperkenalkan dua inisiatif iaitu, pertama, Anugerah Institusi Penjara Terbaik (Best Correctional Institution Award) menggalakkan persaingan yang sihat (healthy competition) antara institusi-institusi penjara dalam memberi tumpuan kepada usaha peningkatan bagi mewujudkan sistem pengurusan yang lebih efisien, program-program pemulihan yang berkesan, budaya kerja yang positif dan pencapaian piawaian atau industry standard yang tinggi.

Yang Berhormat Menteri Hal Ehwal Dalam Negeri semasa berucap pada Upacara Perbarisan sempena Penubuhan Jabatan Penjara ke-66, Tahun 2020.

“Inisiatif yang kedua, Anugerah Inovasi Kepenjaraan (Correctional Innovation Award) akan diwujudkan sebagai penggalakan kepada semua pegawai dan kakitangan untuk meneroka dan mencuba idea-idea baharu yang boleh menghasilkan program-program yang lebih inovatif dan menyumbang kepada perkembangan jabatan secara keseluruhan.

Yang Berhormat Menteri Hal Ehwal Dalam Negeri berpendapat adalah penting untuk Jabatan Penjara sentiasa maju ke hadapan setanding dengan organisasi penjara di negara-negara maju di dalam pentadbiran dan pengurusan penjara terutama sekali di dalam mengendalikan corak jenayah yang berbeza, mencabar dan kompleks. Ini adalah satu cabaran yang harus dihadapi terutama sekali di dalam menjaga keselamatan, keharmonian, kebersihan dan kesejahteraan di kalangan penghuni.

Jelas Yang Berhormat Pehin, berdasarkan kepada kesalahan-kesalahan yang dijatuhkan kepada penghuni-penghuni masa ini, kesalahan curi dan dadah masih merupakan dua kesalahan yang tertinggi di mana perkara ini adalah sangat membimbangkan, terutama sekali yang membabitkan para belia. “Dalam usaha pemulihan ini tidak dinafikan bahawa program berbentuk spiritual atau pendidikan rohani memberi kesan yang besar kepada penghuni.

“Sehubungan ini, kita bersyukur program membaca dan menghafaz Al-Quran mendapat sambutan yang menggalakkan. Pada masa ini, seramai 11 orang penghuni tempatan mengikuti program menghafaz Al-Quran dengan hafazan yang tertinggi sebanyak lapan juzuk.

Antara aspek mustahak lainnya dalam rancangan pemulihan ialah program after-care di mana penerimaan masyarakat adalah amat mustahak bagi memastikan para banduan yang meninggalkan tembok penjara ini diterima sebagai anggota masyarakat yang akan dapat memainkan peranan dan sumbangan mereka.

Sehubungan dengan itu, beliau menjelaskan bahawa program-program pemulihan after-care memainkan peranan penting di dalam mengurangkan kadar residivis.