Rancangan bunuh presiden dikecam

BOGOTA, 30 Dis – Menteri luar Colombia semalam mengecam komplot untuk membunuh Presiden Ivan Duque dan berkata tiga warga Venezuela telah ditahan kerana memiliki ‘senjata perang.’

“Selama beberapa bulan terdapat siasatan risikan dalam kemungkinan serangan ke atas presiden,” kata Carlos Holmes Trujillo dalam satu video yang disiarkan di laman media sosial kementerian itu.

Beliau menambah tiga orang warga Venezuela yang memiliki ‘senjata perang’ telah ditangkap berhubung komplot itu, katanya tanpa memberi maklumat lanjut.

Dalam satu kenyataan berasingan, Trujillo berkata ancaman datang daripada ‘faktor dalaman dan luaran.”

Pengumuman dibuat tatkala hubu-ngan tegang di antara Bogota dan Caracas, susulan penyingkiran pegawai dari kedua-dua buah negara berkenaan dan kehadiran pengebom Rusia di Venezuela pada awal bulan ini.

Presiden Duque telah meminta ‘negara-negara yang mempertahankan demokrasi’ agar tidak mengiktiraf kerajaan Nicolas Maduro, yang akan memulakan penggal baharu pada 10 Januari depan, setelah dipilih semula dalam pilihan raya yang ditolak pembangkang dan dilabel sebagai penipuan oleh masyarakat antarabangsa.

Maduro, bagi pihaknya, berkata kerajaan masa depan Brazil di bawah presiden yang dipilih, Jair Bolsonaro, Colombia dan Amerika Syarikat semuanya terlibat dalam komplot untuk melancarkan rampasan kuasa di Venezuela dan mahu membunuhnya. Kerajaan Duque berkata ia tidak akan menyokong campur tangan ketenteraan di Venezuela. – AFP