WELLINGTON, NEW ZEALAND, 3 OGOS – Kerajaan New Zealand hari ini mengeluarkan pelan penyesuaian iklim pertamanya, yang termasuk kemungkinan memindahkan beberapa komuniti ke tempat yang lebih tinggi.
Tetapi rancangan enam tahun itu, yang dijelaskan dalam hampir 200 muka surat, tidak mempunyai beberapa maklumat penting tentang kos perubahan dan siapa yang akan membayar.
Menteri Perubahan Iklim, James Shaw memberitahu pemberita bahawa kira-kira 70,000 rumah pantai di New Zealand berisiko akibat kenaikan paras laut, dan banyak lagi rumah pedalaman berisiko ditenggelami oleh air sungai.
Beliau berkata New Zealand lambat menyesuaikan diri dengan perubahan iklim, yang akhirnya akan menelan kos perbelanjaan lebih besar dari semasa ke semasa.
“Saya kecewa kerana selama tiga dekad yang lalu, kerajaan tidak memberi perhatian dalam sebarang bentuk sebenar kepada cabaran yang kita hadapi daripada kesan perubahan iklim,” kata Shaw.
“Kita terpaksa bermula di suatu tempat,” ujarnya.
Pelan Penyesuaian Nasional termasuk kemungkinan penempatan semula rumah dan aset rendah kerana kenaikan laut dan peningkatan ribut menjadikan banjir akan kerap berlaku.
“Di beberapa kawasan yang terdedah, risiko daripada bahaya semula jadi dan kesan iklim mungkin tidak dapat dikendalikan,” kata laporan itu.
“Penenggelaman bangunan dan infrastruktur akan mula berlaku, membawa kepada kerosakan langsung dan kehilangan beberapa kemudahan seperti jalan raya atau perkhidmatan talian hayat lain, dan kawasan terbuka awam,” katanya. – AP