Rancangan Khas Wanita semarak Maulidur Rasul

Oleh Yusrin Junaidi

BANDAR SERI BEGAWAN, 4 NOV – Sempena Sambutan Maulud Nabi Muhammad SAW Peringkat Negara tahun 1443 Hijrah, Kementerian Hal Ehwal Ugama (KHEU) dengan kerjasama Kementerian Pendidikan, Kementerian Kebudayaan, Belia dan Sukan (KKBS) dan Majlis Wanita Negara Brunei Darussalam (MWNBD) dengan sokongan Radio Televisyen Brunei, Jabatan Perdana Menteri telah menyiarkan Rancangan Khas Wanita.

Majlis yang disiarkan di saluran RTB Perdana, RTB Aneka dan RTB Sukmaindera dan rangkaian radio Nasional FM dan Nur Islam FM serta RTBGo itu dimulakan dengan persembahan bacaan Al-Quran oleh Dayang Najla Sabrina binti Haji Abdul Rajid selaku naib johan Musabaqah Tilawatil Quran Belia Kebangsaan Peringkat Akhir Tahun 2021M.

Majlis diteruskan dengan persembahan Dikir Marhaban yang dibawakan oleh gabu-ngan wakil daripada KHEU, KKBS dan Kementerian Pendidikan dan MWNBD.

Acara kemuncak majlis ialah tazkirah khas yang disampaikan oleh Pegawai Pelajaran Ugama, Jabatan Pengajian Islam, Dayang Zuratul Ain binti Dato Paduka Seri Setia Haji Rajid.

Dalam tazkirah berkenaan, Dayang Zuratul Ain menyentuh mengenai kasih sayang yang menurut beliau merupakan elemen penting dalam kehidupan.

Dayang Najla Sabrina mempersembahkan bacaan Al-Quran bagi memulakan Rancangan Khas Wanita berkenaan.

“Semua ciptaan Allah yang bernyawa pasti berkehendak kepada kasih sayang, kepada cinta kerana yang menciptakan kita semua adalah Maha Pengasih dan Maha Penyayang.

“Dan di sisiNya ada seorang manusia yang paling dekat kepadaNya iaitu Baginda Rasulullah SAW. Perkara ini bukan satu perkara yang dapat disangkalkan, kerana dalam Al-Quran sendiri, banyak firman Allah yang menggandingkan nama Allah dan rasulNya,” ujar beliau.

Menurut beliau lagi, “Kita sebagai umat Baginda sebenarnya beruntung kerana umat rasul yang dikasihi Allah. Bermakna kita juga berpeluang untuk menjadi orang-orang yang dikasihi Allah, walaupun martabat kita tidaklah setinggi Rasulullah.”

Kasih Allah dan kasih rasul biarlah menjadi motivasi dalam melaksanakan amal ibadah. Jangan membeza-bezakan antara amalan ini kerana Allah pasti akan membalas semua amal dan kebaikan kita walaupun ia hanya sebesar zarah, tambah beliau.

Majlis juga diserikan dengan bacaan selawat-selawat yang dibawakan oleh belia-belia daripada Program Keugamaan Belia di bawah KHEU iaitu Belia Da’ie.

Acara juga diselang-selikan dengan persembahan puisi oleh mahasiswi Universiti Islam Sultan Sharif Ali (UNISSA) dan Belia Da’ie.

Tema bagi rancangan khas wanita berkenaan ialah ‘Rasulullah Kekasih Allah, Kekasihku Dunia Akhirat.