Rancangan perumahan Israel di Tebing Barat ‘berbahaya’

GENEVA, 26 FEB – Rancangan Israel untuk membina perumahan baharu di kawasan yang sangat sensitif di Tebing Barat akan menghancurkan prospek penyelesaian dua negara itu, kata Menteri Luar Palestin Riyad al-Maliki hari ini.

Rancangan untuk membina 3,500 rumah baharu di kawasan yang dikenali sebagai E1 adalah “amat berbahaya, lebih berbahaya daripada pelan penempatan lain di Tebing Barat,” kata al-Maliki kepada pemberita mengenai isu sampingan Majlis Hak Asasi Manusia di Geneva.

Al-Maliki berkata pelan itu ‘bertujuan memusnahkan penyelesaian di antara dua negara’ dan akan ‘menghancurkan sebarang kemungkinan’ untuk rancangan perdamaian yang dicadangkan oleh Presiden AS Donald Trump dan Perdana Menteri Israel Benjamin Netanyahu pada bulan lalu.

Netanyahu mengeluarkan ikrar untuk membina rumah peneroka baharu kelmarin dalam beberapa siri janji untuk memperluas penempatan, sementara perdana menteri sayap kanan yang menghadapi pilihan raya sengit dan perbicaraan rasuah.

Masyarakat antarabangsa telah memberi amaran berulang kali bahawa pembinaan di koridor E1 dari Jerusalam ke Jericho, akan membahagikan Tebing Barat kepada dua dan menjejas sempadan masa depan negara Palestin.

Menteri Luar Palestin Riyad al-Maliki semasa sidang akhbar di Pejabat PBB, Geneva. – AFP

Pada 2013, Netanyahu memveto pembinaan di koridor E1 ketika menghadapi tekanan daripada Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB), Kesatuan Eropah (EU) dan Amerika Syarikat.

Israel merampas Tebing Barat dan timur Baitulmuqaddis dalam Perang Enam Hari 1967 dalam tindakan yang tidak pernah diiktiraf oleh masyarakat antarabangsa.

Petempatan Yahudi di wilayah Palestin dianggap tidak sah oleh PBB dan kebanyakan kerajaan asing.

Dalam komennya hari ini, Al-Maliki juga mengalu-alu pangkalan data yang disediakan oleh PBB tentang 112 buah syarikat dengan aktiviti di petempatan Israel.

Tetapi beliau berkata senarai itu ‘hanya permulaan’ dan pihak berkuasa Palestin menimbang mengambil tindakan guaman ke atas syarikat tersebut. – AFP