Rancangan Zul Ariffin terganggu gara-gara COVID-19

Susunan angka cantik membuatkan banyak pihak termasuk selebriti memasang impian berkahwin pada 2020. Tidak terkecuali, aktor berbadan sasa, Zul Ariffin, 34.

Namun, sehingga hari ini, tiada perkembangan terbaru mengenai berita perkahwinannya. Sebelum ini, bintang filem J Revolusi dan Sangkar itu pernah membuka mulut mahu menamatkan zaman bujangnya sebelum Aidilfitri lalu.

Ini menimbulkan pertanyaan apakah hubungan Zul dan wanita yang dirahsiakan identitinya itu masih berlanjutan atau sudah putus di tengah jalan.

Zul berkata, segala perancangan termasuk soal kahwin terpaksa ditangguhkan berikutan pandemik COVID-19 yang melanda seluruh dunia.

“Apabila wabak melanda dan kerajaan melaksanakan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), Mac lalu, semua perancangan dibuat tidak menjadi termasuk soal perkahwinan.

Zul Ariffin terpaksa menangguhkan rancangannya untuk berkahwin disebabkan penularan wabak COVID-19 dan tindakan kerajaan melaksanakan PKP. – Agensi

“Melihat keadaan sekarang, kita nak buat perancangan pun tak berani. Insya-Allah, kalau tahun ini tidak dapat, saya akan bawa hasrat untuk berkahwin tahun depan.

“Tetapi, ia bukanlah pada awal tahun kerana ada banyak kerja yang harus diselesaikan. Mungkin pertengahan tahun waktu yang sangat sesuai,” katanya kepada media.

Pelakon yang melonjak populariti menerusi drama Rindu Awak 200% dan Titian Cinta itu berkata, dia bersyukur bakal isteri memahami situasi dan tidak terlalu memaksa.

“Mujur si dia faham dan tiada halangan untuk menangguhkan perkahwinan. Kami tidak bergaduh pun. Bila ditunda, bolehlah saya buat persiapan dengan lebih serius dan rapi.

“Tahun lalu saya berangan sahaja. Tiadalah buat persiapan beriya-iya, tetapi bukanlah hendak kata saya tidak serius.

“Saya sudah lama bersedia untuk menjadi suami. Cukup-cukuplah dengan apa yang berlaku sebelum ini,” ujarnya berkias. – Agensi