Rang Undang-undang COVID-19 demi kelangsungan

PUTRAJAYA, 5 JUN – Kerajaan akan menggubal Rang Undang-Undang COVID-19 (Langkah Sementara) sebagai komitmen bagi mengurangkan impak perundangan COVID-19, kata Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Perdana Menteri berkata, rang undang-undang itu dijangka akan dibentangkan pada sesi parlimen Julai ini.

Beliau berkata, rang undang-undang itu merupakan pelepasan sementara atau ‘temporary relief’ daripada tanggungjawab perjanjian bagi satu tempoh yang ditetapkan.

“Kerajaan berharap dengan adanya akta baharu ini, kelangsungan hidup rakyat Malaysia umumnya dapat diteruskan,” katanya ketika membentangkan Pelan Jana Semula Ekonomi Negara (PENJANA) yang disiarkan secara langsung menerusi radio dan televisyen hari ini.

Kerajaan memperkenalkan PENJANA dengan tema ‘Bersama Menjana Ekonomi’ sebagai langkah segera untuk membangun dan merancakkan semula ekonomi negara untuk jangka masa pendek merangkumi 40 inisiatif bernilai RM35 bilion.

Muhyiddin berkata Malaysia telah mengharungi krisis COVID-19 hampir tiga bulan dengan petugas barisan hadapan dan pasukan keselamatan bekerja siang dan malam tanpa cuti atau rehat di hujung minggu.

“Alhamdulillah, dengan langkah-langkah yang telah diambil oleh kerajaan dan disiplin anda semua, penularan COVID-19 di negara kita telah dapat dibendung dengan lebih 80 peratus kes pulih sepenuhnya,” katanya sambil merakamkan penghargaan kepada para petugas barisan hadapan.

Beliau turut mengucapkan terima kasih kepada semua rakyat Malaysia yang mematuhi prosedur operasi standard (SOP) dalam menjalankan aktiviti harian sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dan PKP Bersyarat (PKPB).

 Jelasnya, sekiranya semua pihak terus mematuhi SOP yang ditetapkan dan kes COVID-19 kekal terkawal, sektor-sektor yang masih dilarang pada masa ini akan dapat dibuka dengan lebih cepat. – Bernama

Ruby Ishak, 50, ketika melakukan kerja dari rumah sambil menonton siaran langsung Perutusan Khas Pelan Permulihan Ekonomi oleh Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin, bersama keluarganya di kediaman mereka di Kuarters Polis Kelumpuk Teratai, kelmarin. – Bernama