Rang undang-undang kewarganegaraan India jejas penerbangan

NEW DELHI, 12 DIS – Syarikat penerbangan India hari ini membatalkan beberapa perkhidmatan di wilayah timur laut negara itu di mana tunjuk perasaan meletus disebabkan Rang Undang-undang Pindaan Kewarganegaraan (CAB) yang kontroversi dan bertujuan memberikan kewarganegaraan kepada pelarian bukan Islam dari tiga buah negara Islam yang berjiran dengan India.

Syarikat penerbangan Vistara membatalkan dua penerbangan ke Guwahati dan Dibrugarh ‘atas nasihat kerajaan susulan gangguan semasa yang berlaku’ di negeri Assam.

Pengumuman mengenai pembatalan penerbangan serupa turut dibuat oleh IndiGo dan SpiceJet.

Satu perintah berkurung telah dikeluarkan di Guwahati, hab bandar utama wilayah itu, kelmarin semasa berpuluh-puluh ribu orang turun ke jalanan dan pihak tentera telah dikerah untuk mengawal keadaan.

Media India melaporkan bahawa perkhidmatan Internet mudah alih telah digantung di kebanyakan daerah di timur laut dan beribu-ribu tentera dikerah untuk menghentikan tunjuk pera-saan itu.

Satu laporan menyebut bahawa lebih 100 pelancong India dan asing terkandas di Taman Negara Kaziranga susulan tunjuk perasaan yang berlaku di Assam.

Perkhidmatan kereta api ditangguhkan di Assam dan negeri Tripura, yang bersempadan dengan Bangladesh.

Tunjuk perasaan dilaporkan turut berlaku di negeri-negeri lain di bahagian timur laut.

Orang ramai bimbang undang-undang baharu itu akan membawa kepada penempatan pencari suaka di timur laut dan menggugat keseimbangan etnik dan linguistik yang rapuh di kawasan tersebut.

Rang Undang-undang Pindaan Kewarganegaraan bertujuan memberikan kewarganegaraan kepada pelarian bukan Islam dari Afghanistan, Bangladesh dan Pakistan jika mereka didapati melarikan diri daripada penganiayaan agama serta tiba di India sebelum 2015.

Ia telah diluluskan oleh Dewan Rakyat yang dikenali sebagai Lok Sabha pada Isnin manakala Dewan Negara atau Rajya Sabha meluluskannya pada Rabu. – Bernama