Range Rover rai 50 tahun keunggulan

Oleh Syahmi Hassan

BANDAR SERI BEGAWAN, 17 JUN – Bersempena dengan ulang tahun ke-50 Range Rover, Indera Motors Sdn Bhd akan melancarkan beberapa kempen untuk meningkatkan pengalaman pelanggan dalam beberapa bulan akan datang.

Indera Motors dalam kenyataan yang dikeluarkan di sini hari ini, mengongsikan bahawa Range Rover meraikan ulang tahunnya yang ke-50 dengan memperkenalkan Range Rover Fifty yang meraikan setengah abad kecemerlangan rekaan dan kejuruteraan Range Rover.

Range Rover Fifty akan terdapat dalam kedua-dua reka bentuk standard dan long wheelbase dengan pelanggan dapat memilih daripada empat warna iaitu Carpathian Grey, Rosello Red, Aruba, dan Santorini Black.

Model itu hanya terhad kepada 1,970 unit di seluruh dunia bagi memperingati tahun kelahiran model ikonik berkenaan pada 1970 dan dalam jumlah yang sangat terhad, Land Rover Special Vehicle Operations juga menawarkannya dalam salah satu warna warisan daripada pellet cat asli Range Rover iaitu Tuscan Blue, Bahama Gold dan Davos White.

Di samping itu, ia juga akan terdapat dalam pelbagai pilihan enjin iaitu petrol, diesel malah versi plug-in hybrid P400e.

Kenyataan menyatakan, Indera Motors Sdn Bhd adalah pengedar dan peruncit tunggal kenderaan premium British, Jaguar Land Rover di Brunei Darussalam sejak 2013.

Pada 6 Januari 2020, mereka telah berpindah ke bilik pameran baharu di Kawasan Perindustrian Beribi. Bangunan baharu itu menyediakan ruang pameran yang sesuai untuk produk hebat, serta kemudahan canggih untuk pameran kereta terpakai dan perkhidmatan selepas jualan.

Ia juga mempunyai persekitaran yang mesra bagi setiap pengunjung. Oleh itu, ia tidak hanya menyokong kedudukan jenama Jaguar Land Rover, tetapi juga meletakkan pelanggan dengan tegas di tengah-tengah setiap aspek perniagaan mereka.

Range Rover meraikan ulang tahunnya yang ke-50 dengan memperkenalkan Range Rover Fifty edisi terhad.