Rangers teruskan kemaraan di Liga Europa

BRAGA, 27 FEB – Rangers melangkah ke pusingan pasukan 16 terakhir Liga Europa setelah berjaya menewaskan Braga 1-0 pada Rabu dan mara ke peringkat seterusnya dengan agregat 4-2.

Pasukan kendalian Steven Gerrard tersebut bangkit dari ketinggalan 2-0 pada pusingan pertama, akan berkunjung ke Portugal dengan keputusan mendahului dan Rangers boleh menarik sedikit nafas lega selepas Ryan Kent menjaringkan gol sejurus selepas satu jam perlawanan.

Rangers yang bermain tanpa penjaring terbanyak mereka, Alfredo Morelos akibat digantung perlawanan dan ketiadaan penyerang Colombia tersebut pastinya menjadi kerugian terbesar selepas mereka mensia-siakan peluang sebelum tamat separuh masa pertama.

Florian Kamberi yang menggantikan Morelos menyepak bola hampir kepada penjaga gol Braga, Matheus sebelum Ianis Hagi menyambut satu lagi peluang keemasan tetapi percubaannya tersasar.

Hagi menjaringkan dua gol untuk menukar kedudukan di Stadium Ibrox tetapi mensia-siakan peluang untuk memberikan Rangers pendahuluan dari sepakan penalti sebelum separuh masa pertama tamat.

Raul Silva telah dihukum oleh pengadil perlawanan setelah didapati menyentuh bola di penjuru kotak penalti, tetapi Matheus cemerlang untuk menyelamatkan sepakan Hagi.

Bekas pemain sayap Liverpool, Kent memecah kebuntuan pada minit ke-61 untuk memastikan kemenangan ke atas Braga yang belum tewas dalam 11 perlawanan domestik terakhir mereka. -AFP

Aksi pemain sayap Rangers, Ryan Kent cuba melepaskan diri dari pemain Braga, Nuno Sequeira, dalam perlawanan Liga Europ. – AP