Rangka janin dikeluarkan selepas 36 tahun

NEW DELHI, Selasa – Para doktor di India telah mengeluarkan rangka janin yang telah berada dalam tubuh seorang wanita selama 36 tahun dalam apa yang dipercayai kehamilan ektopik paling lama di dunia, menurut seorang doktor.

Wanita berusai 60 tahun itu hamil pada usai 24 tahun tetapi mengalami keguguran kerana janin telah membesar di luar rahim, doktor itu memberitahu AFP.

Wanita itu, dari kawasan luar bandar miskin di tengah India “gentar” menjalani pembedahan pada ketika itu untuk membuang sisa-sisa janin dan sebaliknya meminta ubat bagi kesakitan yang dialaminya di sebuah klinik tempatan.

Meskipun kesakitan beransur-ansur hilang, ia kembali beberapa tahun kemudian, yang memaksa wanita itu mendapatkan bantuan perubatan di sebuah hospital bandar, menurut Murtaza Akhtar.

“Dia datang menemu kami mengadu mengenai kesakitan dalam perut,” kata Akhtar, ketua pembedahan di Institusi Sains Perubatan N.K.P. Salve di bandar Nagpur.

“Ini adalah kes melibatkan wanita itu hamil di luar rahim. Wanita itu memberitahu kami dia hamil dalam tahun 1978 dan itu adalah kehamilan matang,” kata Akhtar lagi. Para doktor merasa terdapat satu benjol pada bahagian kanan bawah perutnya dan khuatir ia adalah barah – tetapi ujian seterusnya dan juga imbasan ke atas wanita itu mendedahkan gumpalan mengapur.

“Sebaik saja kami melihat imbasan, reaksi segera kami ialah ‘apa yang kita hadapi?’ Ia sebenarnya rangka matang dalam pundi mengapur,” kata Akhtar.

“Seorang wanita berusia 60 tahun dengan janin yang berada di dalam perutnya selama 36 tahun adalah keajaiban perubatan. Ia adalah sesuatu yang tidak pernah kami dengar.”

Para doktor melakukan pencarian di dalam perpustakaan perubatan dan mendapati seorang wanita di Belgium dengan janin telah berada di dalam perutnya selama 18 tahun ekoran kehamilan ektopik, yang paling lama pernah mereka temui dalam catatan.