Rangka kerja pandu pembangunan bandar pintar ASEAN

Oleh Sim Y. H.

BANDAR SERI BEGAWAN, 8 SEPT – Rangkaian Bandar Pintar ASEAN (ASCN) merupakan platform kolaborasi yang dianggotai oleh 26 buah bandar daripada 10 buah negara anggota ASEAN dengan tujuan untuk mencapai pembangunan bandar pintar dan lestari.

Walaupun ASCN adalah platform serantau ASEAN, tetapi dengan adanya kolaborasi daripada rakan kongsi luar, penyedia penyelesaian sektor swasta dan juga institusi kewangan pelbagai hala, jangkauan ASCN terus bertambah luas.

Perkara itu dikongsi oleh Setiausaha Tetap di Kementerian Pengangkutan dan Info-komunikasi, Haji Mohammad Nazri bin Haji Mohammas Yusof selaku pengerusi ASCN 2021 dan perwakilan kebangsaan Negara Brunei Darussalam ke ASCN dalam ucapan pra-rakam semasa Forum Kerjasama Pembangunan Bandar Pintar ASEAN yang berlangsung di Seoul, Repulik Korea dan secara dalam talian, hari ini.

Beliau berkata bahawa ASCN telah menggubal sebuah Rangka Kerja Bandar Pintar ASEAN yang dihasratkan untuk menjadi panduan bagi pembangunan bandar pintar di negara-negara anggota ASEAN.

Rangka kerja berkenaan menggariskan tiga hasil strategik iaitu menubuhkan sebuah ekonomi kompetitif, membina sebuah alam sekitar lestari dan mencapai kualiti kehidupan yang tinggi di mana bandar pintar perlu mencapai keseimbangan.

Haji Mohammad Nazri dalam ucapan pra-rakam semasa Forum Kerjasama Pembangunan Bandar Pintar ASEAN, kelmarin. – Gambar serahan Kementerian Pengangkutan dan Infokomunikasi

Rangka kerja itu, ulas Haji Mohammad Nazri, menggariskan enam bidang tumpuan apabila melaksanakan projek-projek bandar pintar iaitu kawasan sosial dan sivik, kesihatan dan kesejahteraan, sekuriti dan keselamatan awam, alam sekitar berkualiti, infrastruktur dibina serta industri dan inovasi.

“Enam bidang ini mencerminkan keperluan bandar-bandar yang berada di pelbagai peringkat pembangunan serta warganya.”

Sehingga hari ini, tambahnya, sebanyak 64 projek dan inisiatif telah dikenal pasti di bawah Pelan Tindakan Bandar Pintar ASCN termasuk projek-projek infrastruktur bandar, pengurusan ruang awam dan jalan bandar, pengurusan sungai bersih, sistem lalu lintas dan pengangkutan bijak, sistem sekuriti serta identiti digital kebangsaan.

Beliau seterusnya menkankan bahawa ASCN bermatlamat untuk menyokong pembangunan bandar pintar dan lestari dengan penggunaan teknologi supaya dapat menangani peluang dan isu yang timbul akibat pembangunan yang pesat serta meningkatkan kesejahteraan dan kehidupan rakyat ASEAN.

Dengan menumpukan kepada rancangan kerjasama serta bantuan pembangunan rasmi ROK terhadap bandar pintar ASEAN, forum itu dihoskan oleh The Presidential Committee on New Southern Policy of Korea dan dianjurkan bersama oleh Korea Research Institute for Human Settlements (KRIHS) dan World Smart Sustainable Cities Organisation (WeGO).

Forum telah dirasmikan dengan ucapan pembukaan oleh Presiden KRIHS, Hyun Soo Kang dan Timbalan Ketua Setiausaha Presidential Committee on New Southern Policy, Byung-Hwa An.

Ia dihadiri oleh anggota ASCN, agensi-agensi kerajaan ROK dan luar, institusi swasta dan awam serta kementerian yang berkaitan dengan bantuan pembangunan rasmi Republik Korea.

Program Forum itu me-ngandungi taklimat serta perbincangan interaktif bersama ahli panel mengenai ramalan pembangunan bandar pintar di rantau ASEAN dan juga mengenai program bantuan pembangunan rasmi.

Ia bertujuan untuk memperluaskan pemahaman mengenai dinamik dalam pembangunan bandar pintar ASEAN dengan mengenal pasti keperluan bandar-bandar ASEAN dan kerjasama global ASCN dalam menuju ke hadapan.