Rangka mamot ditemui di tapak lapangan terbang

BANDARAYA MEXICO, 4 SEPT – Jumlah rangka mamot yang telah ditemui di tapak pembinaan lapangan terbang di utara Bandaraya Mexico telah meningkat kepada sekurang-kurangnya 200, dengan sejumlah besar masih lagi digali, kata pakar kelmarin.

Ahli arkeologi berharap tapak tersebut akan menjadi ‘pusat mamot’ – pesisir dasar tasik kuno yang menarik dan memerangkap mamot ke dalam tanah payanya – mungkin menyelesaikan teka-teki mengenai kepupusan mereka.

Pakar berkata penemuan tersebut masih dilakukan di tapak tersebut, termasuk tanda-tanda manusia yang telah membuat peralatan dari tulang-tulang peninggalan binatang yang mati sekitar 10,000 hingga 20,000 tahun lalu.

Terdapat sejumlah besar mamot di tapak lapangan terbang baharu Santa Lucia sehingga pemerhati perlu mengiringi setiap jentolak yang menggali tanah untuk memastikan kerja dihentikan apabila tulang mamot ditemui.

“Kami menemui kira-kira 200 ekor mamot, kira-kira 25 ekor unta, dan lima ekor kuda,” kata ahli arkeologi, Ruben Manzanilla Lopez dari Institusi Antropologi dan Sejarah Kebangsaan, merujuk kepada binatang yang pupus di Americas. Tapak itu terletak kira-kira 12 batu dari lubang buatan, pada dasarnya adalah perangkap mamot yang digali oleh penduduk awal untuk memerangkap dan membunuh puluhan mamot.

Manzanilla Lopez berkata bukti awal mula muncul yang mencadangkan walaupun mamot yang berada di tapak lapangan terbang itu mati secara semula jadi selepas tersekat di lumpur dasar tasik kuno, rangka mereka mungkin diambil oleh manusia, seperti yang terdapat di tapak perangkap mamot di San Antonio Xahuento, berhampiran dengan bandar Tultepec.

Ujian telah dijalankan ke atas rangka mamot untuk mencari kemungkinan kesan pembunuhan, ahli arkeologi telah menemui puluhan alat dari tulang mamot – seperti batang untuk memegang alat atau alat memotong – sama seperti yang dijumpai di Tultepec.

“Di sini kami telah menemui bukti menunjukkan kami mempunyai peralatan yang sama, tetapi sehingga kami boleh menjalankan kajian makmal untuk melihat kesan dari peralatan berkenaan atau peralatan mungkin, kami tidak dapat mengatakan baahwa kami mempunyai bukti yang kukuh,” kata Manzanilla Lopez. – AP

Ahli arkeologi membuat kerja-kerja pemeliharaan ke atas rangka mamot yang dijumpai di tapak lapangan terbang baharu di Bandaraya Mexico. – AP